.

Kawasaki Vulcan S ‘cruiser’ mesra pengguna

POSTED BY ON admin 10 April 2015

Pakej disediakan mudah menarik pelbagai jenis penunggang

Memang benar motosikal berkuasa tinggi sudah berada lama dalam pasaran Malaysia. Tetapi, kemunculan model ER-6 dan Versys oleh Kawasaki Malaysia Sdn Bhd (KMSB) beberapa tahun dahulu ibarat mencetus satu fenomena baharu dan ‘menghidupkan’ kembali dunia motosikal berkuasa tinggi di Malaysia.

Antara faktor penyumbangnya adalah harga berpatutan dan motosikal yang mempunyai prestasi baik. tahun ini, meskipun cabaran semakin sengit dalam pasaran motosikal, Kawasaki sekali lagi akan ‘menggoncang’ pasaran. kali ini, melalui model Vulcan S yang dikategorikan sebagai motosikal ‘cruiser’.

Harga sentiasa memainkan peranan penting dalam pemilikan sesebuah motosikal, dan untuk itu, walaupun terdapat banyak desas-desus keadaan ekonomi yang menakutkan pengguna, KMSB tetap berjanji Vulcan S akan dilancarkan dengan harga terbaik, di bawah RM30,000 termasuk GST (cukai barangan dan servis) bagi model asas. Ini sekaligus menjadi kekuatan utama Vulcan S, seperti juga model-modelnya yang lain.
Kawasaki Vulcan S ujian perjalanan (3)Bagaimanapun, ia tidak sekadar terhenti di situ kerana Vulcan S sebenarnya adalah sebuah motosikal yang cukup menarik.

Rupanya sahaja sudah cukup untuk membuktikan ia tetap akan ‘timbul’ dalam limpahan model motosikal berkuasa tinggi yang ada dalam pasaran kini. Dipandang dari sudut mana sekalipun, sukar untuk mencari kecacatan pada rekaan Vulcan S, apatah lagi, warnanya juga cukup bersesuaian dengan imej sporty yang ingin diperkenalkan oleh Kawasaki pada model ini.

Rekaan ini, bukan sahaja menang dari segi gaya, malah keberkesanannya kepada pengguna juga terbukti. Secara asasnya, Vulcan S yang merupakan sebuah ‘cruiser’ ini direka untuk menghasilkan kedudukan penunggang yang lebih santai.

Tetapi, jurutera Kawasaki faham penunggang motosikal terdiri daripada pelbagai saiz, justeru Vulcan S dibangunkan dengan ciri ergonomik boleh laras yang digelar Kawasaki Ergo-Fit. dengan ini, pemegang, tempat letak kaki serta tempat duduknya boleh dilaras mengikut kesesuaian penunggang.

setelah itu, penunggang boleh menikmati tunggangan bersahaja yang disediakan motosikal ini. Selain itu, tempat duduknya juga menggunakan span yang lebih tebal dan empuk, menghasilkan rasa yang selesa dan tidak menyakitkan.
SONY DSC
Vulcan S dipacu oleh enjin dua silinder selari 649cc sama seperti yang terdapat pada model ER-6 dan Versys tetapi mendapat beberapa perubahan pada profil aci sesondol (camshaft), corong kemasukan udara dan aci oleng (crankshaft) lebih berat.

hasilnya, pada permulaan pergerakan, enjin ini lebih lancar, sementara dalam kelajuan lebih tinggi pula, tarikannya lebih berkuasa dan mengujakan.

Selain itu, Vulcan S juga adalah sebuah motosikal yang mudah dikendalikan dan memberi lebih keyakinan kepada penunggangnya. Ini adalah hasil daripada titik graviti motosikal rendah, ketegaran casis serta sistem suspensi yang baik.
Menambah lagi kepada kemampuan keseluruhannya, Vulcan S juga didatangkan dengan tangki minyak 14 liter. Pada masa hadapan, selepas pelancarannya, KMSB juga akan menawarkan aksesori lain untuk Vulcan S.

Secara keseluruhannya, Vulcan S ini pasti dapat menarik lebih ramai pengguna kepada jenama Kawasaki. Bukan sekadar memuaskan bagi mereka yang inginkan tunggangan santai, malah juga lebih mesra untuk penunggang baharu termasuk wanita.

Spesifikasi Vulcan S

Enjin: dua silinder selari, 649cc, DOHC, penyejukan cecair
penghantaran: Enam kelajuan
Kuasa maksimum: 60.3hp @ 7,500rpm
tork maksimum: 63Nm @ 6,600rpm
Brek hadapan: Cakera tunggal 300mm, dua piston caliper
Brek belakang: cakera 250mm, satu angkup omboh
harga: Tidak melebihi RM30,000 (model asas)

Diary READ MORE

maaf, tiada kiriman yang sepadan dengan kriteria anda.