.

Toyota Camry diberi peningkatan

POSTED BY admin ON 06 April 2015

Kenderaan segmen D terkenal dari Toyota iaitu Camry menerima pembaharuan bagi tahun 2015 apabila generasi ketujuh yang dipertingkat, atau juga digelar sebagai XV50 dilancarkan untuk pasaran Malaysia.

Secara keseluruhannya, kini Toyota Camry baharu ditawarkan dalam tiga varian yang kesemuanya dipasang di Malaysia iaitu 2.0E (paling asas), 2.0G dan 2.5L Hybrid.

Walaupun digelar sebagai model yang dipertingkat, model ini menerima pembaharuan yang agak ketara pada bahagian enjin, di mana bagi model 2.0E dan 2.0G, enjin 6AR-FSE VVT-iW digunakan dengan gabungan transmisi automatik enam kelajuan, menggantikan enjin sebelum ini yang menggunakan sistem VVT-i dan transmisi empat kelajuan.

Bagi model 2.5L Hybrid pula, ia menggunakan enjin empat silinder 2.5L yang mampu menjana 158hp dan 213Nm tork, dan digabungkan dengan kuasa dari motor elektrik sebanyak 143hp. Kuasa ini kemudiannya disalurkan kepada tayar melalui transmisi E-CVT.

Dalam aspek keselamatan, Camry 2.0E yang merupakan varian paling asas hanya dilengkapi dengan dua beg udara, sistem brek ABS, EBD, BA, pengesan jarak depan dan belakang serta cangkuk ISOFIX, tetapi varian 2.0G pula mendapat penambahan sistem Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control (TC), Hill Start Assist (HSA) dan Emergency Stop Signal (ESS).

Varian 2.5L Hybrid yang terletak paling tinggi pula dilengkapi ciri tambahan seperti tujuh beg udara, Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert System.

Harga pasaran untuk Camry baharu ini termasuk insurans dan GST adalah RM149,900 untuk 2.0E, RM159,900 untuk 2.0G dan RM174,900 untuk 2.5L Hybrid. Kesemuanya datang dengan jaminan tiga tahun atau 100,000km manakala bagi 2.5L Hybrid pula, baterinya diberi jaminan lapan tahun.