.

Temubual – Lebih sporty untuk generasi ketiga Jazz

POSTED BY Kaynis Chong ON 31 July 2014

DSC_8343

Honda Jazz baharu yang dilancarkan secara rasmi Rabu lalu diberikan pelbagai perubahan dari aspek gaya rekaan dan teknologi. Ini termasuklah penggunaan sistem transmisi CVT yang mendapat sentuhan reka bentuk baharu dibawah pembangunan Honda ‘Earth Dreams Technology’ yang dipadankan dengan enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang turut diberi peningkatan.

Untuk pengetahuan umum, berat Jazz baharu ini berbanding versi terdahulu mengalami sedikit pengurangan. Menurut Penolong Ketua Projek, All-New Jazz, Daisuke Uragami, pengurang berat Jazz disalurkan kepada beberapa bahagian yang berbeza supaya tidak berlaku banyak perbezaan dalam jumlah yang besar. Sebagai contoh, dalam pembinaan badan Jazz, kira-kira 10 peratus pengurangan dilakukan manakala pada struktur pintu secara kasarnya kami kurangkan hampir tiga kilogram.

Ketika ditanya mengapa Jazz baharu ini tidak dipasangkan dengan enjin Earth Dreams Techology dan ketiadaan paddle shifter, Ketua Pemasaran Honda Malaysia, Akhbar Daniel menjelaskan bahawa sebelum pengenalan model ini, pihak Honda Malaysia mempunyai tempoh kajian yang panjang untuk menemubual pengguna sebenar dan pelanggan yang berpotensi mengenai apa yang mereka perlukan. Bagi Malaysia kajian akan dijalankan pada pasaran utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru termasuk kajian yang dilakukan pengedar Honda sendiri bagi mendapatkan hasil keputusan berkaitan keperluan dan tabiat pemanduan di negara ini.

Berdasarkan hasil kajian yang diperolehi, pihak Honda akan membangunkan pakej istimewa bagi setiap negara berdasarkan keperluan dan apa yang dipasarkan untuk pakej di Malaysia adalah bersesuaian dengan pemandu Malaysia.

Jelas Akhbar lagi, penggunaan paddle shifter bagi model Jazz ini sangat rendah iaitu kurang daripada 10 peratus oleh sebab itu kami memilih untuk menggugurkannya dan menggantikan dengan sesuatu yang lebih berharga seperti beg udara sisi. Namun bagi permintaan perubahan kecil model (minor model change), pihak Honda akan menjalankan kajian sekali lagi dan jika mendapat permintaan untuk paddle shifter, kami akan memasangnya pada masa akan datang.

Ditanya mengenai perihal model generasi ketiga Honda Jazz untuk pasaran Malaysia ini yang tidak dilengkapi dengan mod ECON dan juga kawalan pemanduan. Sekali lagi Akhbar menjelaskan ia adalah daripada hasil kajian yang dijalankan mengenai kesesuaian dan kebolehgunaan bagi model ini. Untuk Jazz, kami berpendapat pakej yang ditawarkan merupakan yang terbaik untuk pemandu di Malaysia.

Ditanya mengenai reka bentuk Jazz baharu ini lebih sporty daripada generasi sebelumnya; dari aspek luaran dan dalaman dan penerimaan pelanggan di Jepun dan Thailand terhadap perubahan drastik rekaan Jazz. Daisuke memberitahu generasi pertama dan kedua Jazz direka dengan rupa yang lebih ‘comel’ kerana pasaran utama adalah Jepun.

uragami

“Dari generasi ketiga ini dan seterusnya pada masa akan datang, kami memutuskan untuk melakukan perubahan untuk memasuki pasaran global. Dan titik permulaan adalah dengan menghasilkan Jazz yang sporty dan lebih maskulin. Tentang penerimaan pelanggan tradisional Jazz di Jepun, sudah tentu pihak Honda berasa agak bimbang. Namun hasil jualan yang kami terima mengejutkan apabila Jazz generasi ketiga ini terjual lebih 200,000 unit setakat ini dan maklum balas daripada pelanggan juga amat baik,” tambah Daisuke lagi,

Mengulas mengenai beberapa pakej aksesori yang ditawarkan dan faktor selepas jualan bagi aksesori ini, Akhbar memberitahu pada awal pengenalan Jazz ia sangat terkenal dalam kalangan generasi muda terutama golongan yang gemas mengubahsuai kereta. Jadi dengan memperkenalkan pakej Mugen dan Modula ini, ia bukanlah sesuatu yang murah tetapi ia merupakan aksesori yang dikeluarkan Honda sendiri.

“Dari aspek selepas jualan pula, kami mengaplikasikan cara jualan unik dengan memasukkan ia ke dalam senarai harga dan pelanggan boleh memilih pakej yang diminati dan akan dikira sekali ke dalam pinjaman dengan bayaran tambahan secara bulanan antara RM40 hingga RM50 sebulan. Dengan harga yang Honda tawarkan ini, pastinya ia sangat berpatutan dan mampu menarik sejumlah besar peminat,” ujar Akhbar.