.

Tata kembali bertapak di Malaysia

POSTED BY Kaynis Chong ON 23 January 2015

Trak pikap dan ‘Prime Mover’ dilancar sekaligus

 Tata launch-14

Pengeluar automotif terbesar India, Tata Motors Ltd, kini kembali ke pasaran Malaysia dengan kerjasama sebuah anak syarikat DRB-HICOM Berhad iaitu DRB-HICOM Commercial Vehicles Sdn Bhd (DHCV).

Sebagai mengorak langkah pertama, dua barisan model kenderaan diperkenalkan iaitu trak pikap Tata Xenon dan ‘Prime Mover’ Tata Prima dengan harga masing-masing bermula sekitar RM60,000 hingga RM80,000 dan RM270,000.

Dibawa masuk dari Thailand, Tata Xenon menggunakan enjin 2.2 liter Common Rail Turbo Diesel dan pengguna diberi kebebasan untuk memilih pelbagai bentuk serta konfigurasi untuk trak pikap ini mengikut kesesuaian. Namun, asas yang ada adalah pacuan dua roda, pacuan empat roda dan transmisi manual.

‘Prime Mover’ Tata Prima pula mempunyai dua varian iaitu Tata Prima 4038.S (4×2) dan Tata Prima 493.8S (6×4). Ia juga boleh dipadankan dengan pelbagai bentuk badan. Ia dibina dengan input teknologi dari seluruh dunia – reka bentuk Itali, teknologi enjin dari Amerika Syarikat dan Eropah, kepakaran kotak gear dari Jerman, kerangka casis daripada pakar-pakar Mexico, lembaran logam ‘stamping’ Jepun dan Korea dan kepakaran kimpalan robot Sweden.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, DRB-HICOM telah menandatangani Perjanjian Pengimportan, Pengedaran dan Lesen Teknologi dengan Tata Motors seterusnya membolehkan DHCV menjadi pengedar eksklusif kenderaan komersial Tata Motors serta mengembangkan perniagaan pemasangan dan rangkaian pengedaran.

Satu pelaburan baru berjumlah RM10 juta turut akan dibuat untuk mengukuhkan operasi DHCB termasuk untuk penambahan pusat jualan, pengedaran dan aktiviti selepas jualan. Buat masa ini, satu pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) sudah dibuka di Selayang dengan menempatkan 12 ruang servis dan tujuh pengedar di Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah dilantik. – Durrani Sharom.

 

Diary READ MORE

Sorry, no posts matched your criteria.