.

Subaru WRX terus gagah

POSTED BY Kaynis Chong ON 01 November 2014

Model generasi baharu kekalkan pandangan tinggi sedia ada

Subaru Impreza WRX 4

Namanya memang sudah terpahat dalam minda penggemar automotif dan dianggap sebagai antara model prestasi jenama Jepun yang berjaya mencapai tahap lagenda. Itulah Subaru Impreza. April lalu, kami berpeluang mendekati sebentar generasi terbaharunya yang digelar Subaru WRX namun akhirnya tiba masa kami memandunya di jalan raya Malaysia sendiri.

Pada pandangan penulis, penampilan Subaru WRX ini memang moden dengan adanya jalur LED pada bahagian lampu utamanya tetapi kurang keaslian kerana rupa yang hampir sama; seperti Mitsubishi Lancer atau Jaguar XF pada bahagian hadapan dan seperti BMW 3Series di bahagian belakang.

Namun, identiti jenama Subaru iaitu enjin Boxer dan pacuan semua roda masih terus dibanggakan dan diguna pada model ini. Di situlah ia mula menunjukkan keistimewaannya.

Varian WRX ini hanya menggunakan enjin 1,998cc (varian WRX STI menggunakan enjin 2,157cc), namun boleh menghasilkan sehingga 264hp secara maksimum hasil bantuan daripada pengecas turbo. Jumlah ini, pada sebuah kenderaan produksi sebenarnya mampu memberi pemanduan cukup mengujakan, walaupun bagi WRX ini yang menggunakan transmisi CVT Sport Lineartronic.

Melalui sistem ‘Subaru Inteliigent Drive’ (SI-Drive), pemandu boleh memilih tiga pemetaan kuasa; Intelligent, Sport dan Sport Sharp. Perbezaan susun atur penyampaian kuasa, tindak balas stereng dan suspensi antara ketiga-tiga mod ini tidaklah begitu ketara namun pada tahap paling santai iaitu Intelligent, WRX tetap mampu menujah pantas dan langsung tidak lesu. Cuma kini, anda tidak akan mendengar bunyi ‘bergulung’ hasil pelepasan gas ekzos enjin boxer lagi.

Subaru Impreza WRX 3

Bagi penulis, itu adalah perkara remeh, kerana WRX boleh membuatkan anda lebih tertumpu kepada aspek lain iaitu prestasi di selekoh. Setiap kali ternampak garisan jalan mula membengkok, masa itulah juga anda akan tersenyum kerana pengendalian WRX mempunyai kelebihan, hasil titik graviti rendah (terutamanya bahagian enjin). Selain itu, kuasa yang diagihkan secara pintar kepada semua tayar melalui sistem Vehicle Dynamics Control pula dapat membantu memberi lebih keyakinan dan mengelakkan gelinciran berlebihan. Jika anda cukup yakin, sistem keselamatan ini sentiasa boleh ditutup dan kawalan penuh bergantung kepada pemandu.

Selain itu, untuk menambah kepuasan mengendalikan kenderaan, pemandu juga boleh meletakkan gear pada kedudukan M dan memilih sendiri kemasukan gear atau terus sahaja mengguna pedal gear di belakang stereng. Disebabkan ia adalah transmisi CVT yang sebenarnya tidak mempunyai gear, penukaran gear terasa sedikit lembut tetapi kuasanya tetap mengujakan.

Di sebalik semua ciri berprestasi tinggi ini, penulis turut tertarik bagaimana ia juga mampu memberikan keselesaan yang memuaskan apabila dipandu secara biasa. Bahagian dalamnya mudah dibiasakan dengan susun atur biasa sebuah kenderaan Jepun manakala butang-butang lain yang memenuhi bahagian kiri dan kanan stereng memberikan kawalan mudah bagi ciri moden seperti sambungan telefon bimbit melalui Bluetooth, kawalan audio, ciri ‘auto-cruise’ dan pilihan mod SI-Drive.

Bagi yang lebih suka mendalami kemampuan dan operasi kenderaan, skrin pada bahagian tengah papan pemuka ada memaparkan penggunaan bahan api, penyampaian kuasa pada roda dan tekanan angin turbo.

Kesimpulannya, walaupun WRX baharu ini nampak lebih ‘jinak’, kualiti pemanduan dan prestasinya pasti akan kekal menjadi dambaan mereka yang gemar memandu, terutamanya yang gilakan deruan adrenalin. -Durrani Sharom

 

SPESIFIKASI

 Subaru WRX 

Enjin: 1,998cc, Boxer (silinder mendatar), empat silinder, pengecas turbo

Transmisi: Sport Lineartronic, pacuan semua roda

Kuasa maksimum: 264hp @ 5,600rpm

Tork maksimum: 350Nm @ 2,400 – 5,200rpm

Kelajuan maksimum:240km/j

Pecutan 0-100km/j: 6.3 saat

Ciri keselamatan: Beg udara SRS hadapan, bidai dan kaki, palang penguat pintu sisi, brek ABS dengan EBD dan BA, ISOFIX

Harga: RM237,190.80 (termasuk pendaftaran dan insurans)

 

 

 

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.