.

Sportage 2WD sesuai untuk pemanduan urban

POSTED BY Asyikin Md. Isa ON 02 October 2015

Janjikan prestasi pengendalian lancar

Sportage 2WD - 05

Sekali imbas, dengan melihat rekaan luaran SUV buatan jenama Korea ini, pastinya sukar untuk mengetahui bahawa ia merupakan model terbaharu yang dilengkapi dengan mod pacuan 2WD berbanding ‘abangnya’ yang ditawarkan sebelum ini, dengan pacuan semua roda.

Jika mahu dibuat perbandingan, sememangnya tidak banyak yang berubah. Pada bahagian hadapannya dipasangkan jeriji radiator ‘tiger nose’ dan lampu hadapan utama runcing bersama pencahayaan LED serta lampu kabus.

Berada di dalam segmen C, Sportage yang disuntik dengan enjin 2.0 NU MPI DOHC DCVVT dapat menjana memberi kuasa maksimum pada 152hp pada 6,200 rpm dan tork puncak 191Nm pada 4,700 rpm, sama seperti Sportage AWD.

Ruangan kabin

Menjengah ke ruang dalam Sportage ini, ia mengutamakan aspek kekemasan dan tidak terlalu padat. Keselesaan dan keluasan untuk ruangan kaki dan kepala berada pada tahap yang baik. Tidak seperti varian AWD, model ini tidak diserta dengan bumbung panoramik.

Sportage 2WD - 17

Bagi rekaan papan pemukanyaditampilkan ringkas dan sederhana dengan meter dengan paparan pelbagai informasi (MID) standard dan skrin paparan TFT-LCS bersaiz 4.2 inci untuk meter kluster dan juga kamera undur.

Antara perbezaan ketara adalah butang kawalan penghawa dingin bagi Sportage ini secara manual  berbanding AWD yang dipasang fungsi kawalan penghawa dingin dwi-zon. Malah untuk tempat duduk pemandu juga perlu dilaras secara manual, tidak seperti AWD yang dilengkapi fungsi 6-cara pelarasan tempat duduk.

Pemanduan lancar

Namun dari segi pemanduan, ada perbezaan yang dapat dirasai. Ini kerana sebelum ini penulis pernah diberikan peluang untuk membuat pandu uji varian AWD. Bagi varian 2WD, penulis merasakan ia sedikit ringan ketika mengendalikannya. Sekali gus merupakan ciri sesuai untuk pemanduan dalam bandar dan lebih menjimatkan.

Ketika cubaan penulis untuk meningkatkan kelajuan, ia memerlukan kerahan tenaga yang lebih dan kedengaran bunyi enjin seperti mengerang dalam ruangan kabin. Tetapi apabila mencapai kelajuan yang diingini, ia meluncur laju dan lancar tanpa sebarang masalah.

Oleh kerana penulis hanya memandu uji kenderaan ini pergi balik ke tempat kerja, penjimatan bahan api tidak dapat penulis tafsirkan sebaiknya memandangkan penulis berdepan kesesakan lalu lintas yang memerlukan penulis menekan pedal brek lebih kerap.

Praktikal dan urban

Sportage 2WD - 12

Kapasiti untuk ruang kargo bagi Sportage yang didatangkan dalam tiga pilihan warna; Clear White, Mineral Silver dan Bright Silver ini mampu memuatkan hingga 740 liter barangan namun jika tempat duduk penumpang belakang dilipat pastinya dapat memberikan tambahan kapasiti untuk ruangan kargo.

Sejujurnya, walaupun hanya dilengkapi pacuan 2WD, SUV keluaran Kia dengan reka bentuk sporty bersama kepelbagaian ciri keselamatan yang dijual pada harga RM118,888 (harga atas jalan) ini pastinya berbaloi untuk dimiliki, terutama buat golongan mereka yang gemarkan kenderaan SUV dengan gaya urban. -Asyikin Md Isa

 

Spesifikasi Kia Sportage 2WD

Enjin: 1,999cc NU MPI DOHC DCVVT

Kuasa maksimum: 152hp @ 6,200rpm

Tork maksimum: 191Nm @ 4,700rpm

Transmisi: Automatik 6-kelajuan

Ciri-ciri keselamatan:.enam beg udara, Program Kestabilan Elektronik (ESP) merangkumi Sistem Brek Anti-Kekunci (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Sistem Bantuan Kawalan Awal Pendakian (HAC), sistem Kawalan Brek Menuruni Bukit (DBC) dan lain-lain.

Harga: RM119,762.10 (harga atas jalan termasuk insurans dan GST)

 

 

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.