.

Si kecil yang lengkap

POSTED BY Khir Wahid ON 22 April 2015

SkyActiv jadi kekuatan Mazda2 Sedan

Majlis pelancaran Mazda2 yang berlangsung awal tahun ini adalah antara acara penting dalam lanskap automotif negara kita. Kenderaan ini, yang merupakan generasi ketiga bagi Mazda2 membawa banyak perubahan berbanding model sebelumnya, dan paling utama adalah penggunaan teknologi SkyActiv secara menyeluruh.

MAZDA 2 SEDAN-0000

SkyActiv bukan sekadar satu penjenamaan yang digembar-gemburkan, sebaliknya merupakan perkembangan yang lebih maju dalam kejuruteraan automotif. Semasa pertama kali didedahkan dengan teknologi SkyActiv ini, penulis sendiri kagum dengan bagaimana jurutera Mazda mengambil penting setiap kiraan secara terperinci bagi menjadikan kenderaan lebih cekap dan pada masa sama memuaskan pemandu.

Pendekatan reka bentuk

MAZDA 2 SEDAN-0003

Rekaan yang digunakan pula adalah berkonsepkan KODO yang membawa maksud ‘jiwa dalam pergerakan’. Rekaan ini, walaupun menyebabkan kenderaan Mazda kelihatan hampir serupa semuanya apabila digunakan pada beberapa model lain, masih lagi kekal menarik dengan gaya yang agresif dan garisan badan beralun yang ketara.

Semasa dilancarkan, pendekatan yang diambil Bermaz Motor Sdn Bhd selaku pengedar rasmi kenderaan Mazda di Malaysia adalah mudah; hanya satu varian spesifikasi ditawarkan dan harga untuk versi badan hatchback dan sedan adalah sama iaitu RM88, 115.20 termasuk insurans dan GST.

Prestasi terbaik

MAZDA 2 SEDAN-0008

Spesifikasi ini adalah cukup lengkap, menjadikan Mazda2 SkyActiv seperti sebuah kenderaan yang eksklusif. Kemasan kulit digunakan pada tempat duduk dan stereng, sistem audio mempunyai pelbagai sambungan, sistem keselamatan tanpa dan penghidup enjin tanpa kunci dan bahan yang digunakan pada bahagian lain juga nampak berkualiti.

Di atas papan pemuka, terdapat skrin 7 inci yang memaparkan informasi berkenaan kenderaan serta sistem hiburan. Ia adalah unit skrin sesentuh yang mesra pengguna dan bagi memudahkan pengendalian terutamanya bagi pemandu, butang kawalan turut disediakan di konsol tengah berhampiran tuil brek kecemasan.

Antara ciri menarik yang boleh dipaparkan adalah penggunaan bahan api semasa berserta graf yang dapat membantu pemandu menghasilkan pemanduan lebih menjimatkan.

Teknologi dan pemanduan optimum

MAZDA 2 SEDAN-0007

Namun di sebalik semua ciri-ciri ini yang juga boleh didapati pada kenderaan jenama lain, Mazda2 mempunyai kelebihan pada teknologi SkyActiv. Enjin SkyActiv-G 1.5L pada Mazda2 ini mempunyai tindak balas yang ringan dan pecutan terasa lancar dan pada masa sama padat hasil penggunaan transmisi SkyActiv-Drive.

Pakej kuasa ini sangat padan dengan Mazda2 dan kenderaan dapat dipacu dengan mudah termasuk waktu mendaki bukit dan memotong. Selain itu, Mazda2 juga adalah sebuah kenderaan yang menyeronokkan untuk dipandu kerana mempunyai tindak balas stereng yang cukup dan suspensi meyakinkan.

Sekiranya anda terasa seperti memerlukan pemanduan yang lebih bersemangat, Mazda2 turut menyediakan butang pilihan mod Sport yang menjadikan kenderaan lebih responsif. Bagaimanapun, pada pendapat penulis, ia tidak begitu ketara dan menggunakan pedal penukar yang terdapat di belakang stereng sahaja sudah mencukupi.

Ruang tersedia

Menyentuh aspek ruang, sekiranya berada di hadapan, anda akan mudah terlupa bahawa Mazda2 sebenarnya adalah sebuah kenderaan segmen B. Cuma apabila berada di tempat duduk belakang, dengan pemandu yang berketinggian 170cm di hadapan, ruang kaki penumpang akan sedikit terhad, tetapi masih boleh diterima.

Dalam ujian yang dilakukan Mazda, kenderaan ini disifatkan mampu mencatat penggunaan minyak 5.2L/100km, tetapi sepanjang bersama penulis dan digunakan dalam cara pemanduan biasa, ia mencatat sekitar 8.0L/100km dan jumlah ini masih boleh dianggap menjimatkan.

Spesifikasi Mazda2 Sedan

Enjin: 1,496cc, empat silinder sebaris, SKYACTIV-G, DOHC, 16 injap

Transmisi: Automatik SKYACTIV-DRIVE enam kelajuan

Kuasa maksimum: 114hp @ 6,000rpm

Tork maksimum: 148Nm @ 4,000rpm

Ciri keselamatan: Beg udara berkembar hadapan, brek ABS,EBD, BA, DSC, pengesan undur, cangkuk ISOFIX

Kapasiti tangki: 44L

Harga: RM88, 115.20 termasuk insurans dan GST