.

Satu tangki penuh dari KL ke Bangkok

POSTED BY Khir Wahid ON 22 April 2015

Pencapaian memberangsangkan Mercedes-Benz E300 Bluetec Hybrid dalam ujian jarak jauh

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bangkok awal April lalu menjadi medan ujian yang menawarkan pengalaman menarik; dengan sebuah  W212 berwajah baru.

MERCEDES E300 BANGKOK-0006

Membezakan kereta ini daripada kenderaan lain adalah teknologinya. Ia dilengkapi enjin diesel 2.1 liter 4 silinder selari, 4 injap setiap silinder berkuasa 150kW (204hp) pada 4,200rpm dan tork 500Nm pada 1,600-1,800rpm.

Selain itu, ia menempatkan nisbah kemampatan 16.2: 1, kotak gear 7G-Tronic 7-kelajuan automatik serta digabungkan dengan motor elektrik dengan kuasa 20kW dan 250Nm.

Cabaran bagi tempoh dua hari itu yang menjadikan perjalanan berkenaan lebih menyeronokkan;  memulakan perjalanan dari Subang ke Bangkok dengan hanya satu tangki penuh berkapasiti 80 liter diesel untuk jarak perjalanan kira-kira 1,500 km. Mampukan teknologi Bluetec memberi prestasi dan penjimatan  seperti yang diharapkan? Itu yang ingin diketahui.

535 kilometer untuk hari pertama

MERCEDES E300 BANGKOK-0005

Ringkasan perjalanan untuk hari pertama adalah seperti berikut: bermula dari Saujana Hotel Subang ke R&R Simpang Pulai (185 km), Dari Simpang Pulai ke Juru Autocity Seberang Prai (147 km), dari Juru AutoWorld ke Bukit Kayu Hitam (145 km) dan dari Bukit Kayu Hitam ke Centara Hotel Hatyai (58 km).

Pemanduan dari Subang bermula pada kira-kira jam 10.00 pagi untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di sepanjang NKVE. Kesemuanya melibatkan lapan buah model kereta yang sama.

Lalu lintas di sepanjang laluan yang kurang sesak membolehkan penggunaan bahan api di bawah 5 liter/100 kilometer. Ketika berhenti di kawasan rehat Simpang Pulai,  penggunaan purata yang dicatatkan adalah 4.7 liter/100km.

Pemanduan melalui Lebuhraya Utara Selatan seterusnya menuju Juru AutoCity di Seberang Prai. Walaupun terdapat pendakian curam dari Jelapang ke Terowong Menora, kami masih berjaya mengekalkan bacaan 4.7 liter/100km.

Dari Juru Autocity kami diberitahu bahawa tempat pemeriksaan imigresen Thailand di Bukit Kayu Hitam / Sadao ditutup pada jam 7.00 petang waktu Malaysia atau 6.00 petang waktu Thailand.

Kami diminta untuk memandu pada kelajuan 110 km/j. Ini menjadikan penggunaan meningkat kepada 4.9 liter/100km tetapi pada keseluruhan berjaya mengekalkan bacaan 4.6 liter/100km setibanya di sana. Rupa-rupanya maklumat tersebut tidak tepat. Pusat pemeriksaan imigresen sebenarnya ditutup pada jam 10.00 malam waktu Thailand.

4.6 liter per 100 kilometer bacaan terendah hari kedua

MERCEDES E300 BANGKOK-0003

Pada hari kedua, perjalanan bermula dari Centara Hotel Hatyai ke PTT Spitech Ron Daerah Phibun (162km), kemudian ke Surat Thani (151km), dan seterusnya ke Hotel Novotel Chumphon (184km).

Pemanduan dari Hatyai ke Chumphon melalui sepanjang Lebuhraya Phet Kasem, yang bukanlah lebuhraya sebenar berbanding lebuhraya di Malaysia kerana ia melalui banyak bandar-bandar dan kampung-kampung dengan lampu isyarat di persimpangan, kedai-kedai, rumah dan kilang terdapat di sepanjang jalan dan juga banyak pusingan-U.

Permukaan jalan secara keseluruhannya juga tidak begitu baik. Sepanjang laluan ini bacaan yang  berjaya dicapai masih sama 4.6 liter/100 km.

22 jam masa memandu

Hari 3: Perjalanan bermula dari Novotel Chumphon ke PTT Narong Thap Sakae (148 km). Dari PTT Narong ke Hyatt Regency Hua Hin (142 km). Dari Hyatt Regency Hua Hin ke Mercedes Benz Metro Auto House, Samae Dam, Bangkok.

Pemanduan dari Chumphon untuk ke Samae Dam, Bangkok juga melalui sepanjang Lebuhraya Phet Kasem, dengan keadaan jalan yang sama seperti hari kedua.

Kali ini semua perserta cuba untuk mengalahkan antara satu sama lain. Dalam usaha terbaik mereka untuk menggunakan seberapa kurang jumlah bahan api, kebanyakan peserta mengelakkan penggunaan penyaman udara.

Tiba di Samae Dam, Bangkok kereta yang dinaiki penulis menggunakan sebanyak 4.2 liter/100 km untuk hari ketiga dan secara purata penggunaan bahan api keseluruhan sepanjang tiga hari pemanduan itu adalah sebanyak 4.5 liter/100km.

Ia meliputi perjalanan sejauh 1,478 km, kelajuan purata 67 km/j dan jumlah masa memandu 22 jam dan 12 minit dan diesel yang masih berbaki untuk perjalanan 427km lagi.

Bacaan terbaik antara semua kereta terbabit adalah bagi kereta No. 4 yang mencatatkan penggunaan bahan api purata keseluruhan 4.3 liter/100km.

Kesimpulan

Pada pandangan penulis, dengan tiada penalti masa ditetapkan sepanjang perjalanan berkenaan, penggunaan bahan api yang dicapai tidak mencerminkan kadar sebetulnya bagi pemanduan sebenar.  Akan tetapi, ia membuktikan bahawa di bawah keadaan pemanduan tertentu seperti yang dilakukan, angka yang didakwa oleh pengeluar bagi model Mercedes-Benz E300 Bluetec Hybrid memang mampu dicapai.-Azmi Abdullah-