. <

Renault Fluence – Pilihan sedan keluarga terbaik

POSTED BY Hazril Hafiz ON 11 June 2015

Renault Fluence berwajah baharu masih dengan pakej keseluruhan terbaik

Renault Fluence ini sesuai untuk siapa? Pertanyaan ini terngiang-ngiang di dalam kepala sewaktu menghabiskan masa beberapa hari memandu uji model sedan dari segmen C ini. Sebetulnya, ia bukanlah sebuah kereta yang akan mengecewakan. Renault Fluence tetap mempunyai beberapa ciri yang akan menyenangkan pemiliknya.

Untuk menjawab persoalan itu, jawapan yang mungkin paling hampir adalah ini; ia sangat sesuai untuk mereka yang tidak terlalu cerewet tentang kereta, yang hanya menginginkan sebuah sedan untuk urusan harian dan tidak memerlukan perhatian khusus dalam penjagaannya.

Mengapa begitu? Sangat mudah; Renault Fluence melalui pakej servis dan khidmat lepas jualan yang ditawarkan oleh pengedarnya, TC Euro Cars Sdn Bhd, yang juga merupakan syarikat yang berkait dengan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd yang menguruskan jenama Nissan di sini, adalah yang terbaik setakat ini, mengambil kira penawaran bagi kenderaan dalam segmen yang sama.

Renault Fluence FL 2015-0001Pemilik tak perlu runsing dengan hal-hal berkaitan khidmat lepas jualan kenderaan ini. Sebagai contoh, ia ditawarkan dengan jaminan 5 tahun (biasa bagi kebanyakan kenderaan sekarang), 5 tahun servis dan tenaga percuma (kebanyakan pengeluar hanya menawarkan 3 tahun servis percuma bagi kelas ini), wakil Renault akan datang ke rumah atau pejabat anda untuk membawa kereta berkenaan ke pusat servis bagi tujuan penyelenggaraan serta kenderaan gantian sepanjang tempoh kereta anda diservis, sekiranya ia mengambil masa yang lama daripada biasa (hanya pengeluar kenderaan jenama mewah tawarkan jenis perkhidmatan ini).

Semua ini, dan ditambah pula dengan harga jualan model berkenaan yang paling rendah dalam kalangan sedan segmen C; Renault Fluence, di dalam penampilan terbaharu ini dijual pada harga RM113,888 tanpa insurans.

Untuk memahami nilai yang dimaksudkan ini, cuba bandingkan harga dan pakej perkhidmatan Fluence dengan model dari segmen yang sama, seperti Honda Civic dan Toyota Altis atau Mazda3 (sekadar contoh model yang lebih popular) dan lihat perbezaannya.

Bagaimana dengan prestasi dan pemanduannya? Untuk perkara ini, tidak ada apa-apa masalah dengan kedua-dua aspek berkenaan. Kepada yang khuatir dengan sistem janaan kuasanya, dan menganggap ia bakal bermasalah kerana merupakan sebuah kereta jenama ‘continental’ atau Eropah, tanggapan itu meleset.

Renault Fluence FL 2015-0008Renault Fluence sebenarnya menggunakan enjin 2.0L yang sama digunakan pada Nissan Sylphy yang tidak memerlukan apa-apa penjagaan khusus. Reputasinya sama saja dengan enjin-enjin buatan Jepun yang lain, selagi anda menyelenggaranya mengikut jadual yang ditetapkan.

Jika ada hal yang bakal ditentukan oleh selera sendiri semata-mata, ia adalah reka bentuk luaran yang ada pada kenderaan ini. Ia subjektif, dan masing-masing mempunyai pandangan terhadapnya. Sekali lagi, seperti yang dinyatakan awal tadi, sekiranya anda tidak cerewet dengan segala perincian begini, tak ada apa yang perlu dirisaukan.

Pemanduannya boleh dikatakan punyai karektor tersendiri, dan umumnya tidak mengecewakan. Maklum balas stereng dan pedal minyak sangat baik, kendalian diselekoh juga sangat stabil dan mudah untuk dikawal serta keluasan dan kesenyapan kabin adalah antara kelebihan model ini.

Kini dengan penampilan dan kemasan baru, Renault Fluence tampil lebih segar. Antara yang dipertingkat adalah muka hadapan dan perincian serta rekaan lampu dan gril yang lebih menonjol.

Renault Fluence FL 2015-0005Spesifikasi Renault Fluence

Enjin: 1,997cc, 16 injap 140 X-Tronic
Kuasa maksimum: 145hp @ 6,000rpm
Tork maksimum: 195Nm @ 3,750rpm
Transmisi: CVT
Ciri-ciri Keselamatan: Beg udara, ABS dengan EBD, ESP, Isofix dan lain-lain.
Penggunaan bahan api: 7.7L / 100 kilometer
Harga: RM113,888 tanpa insurans