.

Renault Clio RS – Paduan prestasi dan ketelitian

POSTED BY Kaynis Chong ON 04 August 2014

Renault Clio RS serasi di jalan dengan semangat litar

 Clio RS - 04

Ada perbezaan diantara sebuah kereta yang direka sekadar untuk memenuhi keperluan pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan sebuah kereta yang dibangunkan untuk memberikan perincian dan pengalaman yang berbeza kepada mereka yang menghargainya.

Tidak ada salah jika anda meminati satu daripada dua jenis kenderaan di atas. Tetapi, sebuah kereta yang mampu memberikan kesepaduan di antara pelbagai aspek yang mendirikan sebuah kenderaan akan memberikan kepuasan yang berbeza kepada yang mencarinya. Dengan hal-hal seperti inilah yang menjadikan tidak semua kereta adalah sama.

Renault, walaupun sebuah jenama yang mungkin sedikit senyap di dalam hiruk-pikuk pasaran automotif tempatan sebaliknya memiliki barisan kenderaan yang mengkagumkan. Beberapa model terakhir yang diperkenalkan seperti Megane RS 265 sebenarnya terus mengikat hati penggemar jenama itu untuk terus setia, walaupun di dalam jumlah yang kecil.

Sebuah lagi model yang juga cukup menarik untuk dialami pemanduanya ialah Clio RS 200 EDC ini. Jika perlu menyatakan dengan ringkas mengapa kereta ini disifatkan begitu, mungkin penjelasannya adalah seperti ini; ia mempertemukan kesepaduan prestasi dan ketelitian buatan yang meletakkannya berada di sudut yang tersendiri.

Clio RS - 08

Di dalam keringkasan yang terserlah dari segenap sisi model ini, Clio RS memiliki ciri pemanduan yang sinonim dengan jenama yang turut menggugat di dalam perlumbaan F1 ini. Yang dimaksudkan di sini ialah, ketika anda melangka masuk ke dalamnya, selain daripada tempat duduknya yang sporty, hampir tak ada perkara yang benar-benar akan menarik perhatian anda. Walaupun begitu, anda akan tetap dapat merasakan keteguhan dan ketelitian rekaan dan kejuruteraan yang ada.

Terserlah dengan jelas juga adalah rupa bentuknya yang menarik, yang secara langsung merangkumi semangat yang tersimpan di dalamnya. Sporty dalam setiap sentuhan ringkas yang ada, tetapi tidak sekadar itu.

Aspek pemanduannya sangat menarik untuk diperkatakan, apa lagi ketika unit yang dipandu uji ini dilengkapi dengan transmisi dikenali sebagai Efficient Dual Clutch (EDC). Memandu di dalam mod pertukaran gear automatik yang ditentukan oleh sistemnya, dirasakan seperti ada yang tak kena dengan cara kereta ini dipacu, terutama ketika melihat kepada pertukaran gear dan maklum balas yang terlibat di dalam aktiviti itu.

Namun, tak perlu terlalu khuatir; alihkan tombol gear dari kedudukan D itu ke sebelah kiri, Clio RS ini akan terkesan menjadi sebuah jentera yang lain dengan penentuan kedudukan gear yang dikawal sepenuhnya oleh pemandu. Atau, satu lagi pilihan ialah untuk terus menekan butang RS Drive yang disediakan. Di dalam mod pemanduan inilah karektor sebenar Clio RS akan terserlah, dan sekaligus mampu membuatkan sesiapa sahaja untuk menghargainya. Aspek pemanduan menjadi teras utama, dengan prestasi memuncak dan kendalian stereng yang tepat.

Jalan raya terasa seperti tempat yang amat serasi bagi Clio RS dalam formasi seperti ini. Agak menarik juga untuk perhatikan keselesaan ketika memandu. Walaupun dengan kuasa yang jelas dapat dirasakan, ia tidak begitu memenatkan untuk dipandu dalam satu rentang waktu yang berterusan.

Sepanjang menggunakannya untuk tempoh empat hari, ia tidak pernah gagal untuk menjadi sebuah kereta harian yang menyenangkan; dengan rekaan lima pintu, sistem suspensi yang tidak terlalu keras dan penggunaan petrol yang tidak melampau menjadikannya memiliki satu lain karektor yang bertentangan daripada yang lebih agresif yang dinyatakan sebelumnya.

Clio RS - 14

Clio RS 200 EDC ini mungkin tidak salah dikatakan sebagai sebuah kereta dengan aspirasi pemanduan yang tinggi, dan Renault sememangnya ingin menawarkan hal itu kepada pelanggannya. Sebagai contoh, tidak ada sistem multimedia yang terlalu maju atau luar biasa tersedia untuk pengguna, hanya ada yang asas dan ringkas seperti di dalam kebanyakan kenderaan lain juga.

Tetapi, kelebihan model ini ada pada keseimbangan rekabentuk dan kejuruteraan yang melengkapinya, menjadikan model ini sebuah kereta yang akan di dambakan oleh penggemar setia Renault yang sememangnya sudah arif dengan penawaran yang diberikan oleh jenama ini. -Hazril Hafiz

SPESIFIKASI

Renault Clio RS 200 EDC

Enjin: 1,618cc, empat silinder sebaris, turbocaj

Kuasa maksimum: 200hp @ 6,000rpm

Tork maksimum: 240Nm @ 1,750Nm

Transmisi: Efficient Dual Clutch (EDC)

Ciri-ciri keselamatan: Euro NCAP 4 bintang; dwi beg udara bahagian depan, ESC dengan Anti-Slip Regulator (ASR), ABS dengan EBA dan lain-lain.

Kelajuan maksimum: 230kmj

Harga: RM168,270 (tanpa insurans)

 

Komen BH Auto: Kereta dengan prestasi sport yang selesa untuk pemanduan harian.

 

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.