.

Pusat operasi 3S Subaru dilancarkan

POSTED BY Kaynis Chong ON 17 July 2014

Subaru XV STI Performance Edition-0003

Turut perkenalkan varian Subaru XV STI

Jika melalui Lebuhraya Persekutuan berhampiran Petaling Jaya, tidak sukar untuk melihat sebuah bilik pameran Subaru yang terletak tidak jauh dari laluan utama itu. Dalam perkembangan terbaru, premis berkenaan dilancarkan semula sebagai sebuah pusat sehenti untuk jenama berkenaan, merangkumi pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) lengkap untuk memenuhi keperluan pelanggan yang terletak di Lot 10, Jalan 51A/223 Lebuhraya Persekutuan yang turut bakal dijadikan pusat operasi utama Subaru untuk pasaran Malaysia.

Varian baharu dengan kit tambahan

Bersekali dengan pelancaran dan pembukaan pusat 3S terbarunya itu, Motor Image sekalu pengedar jenama berkenaan untuk rantau Asia Tenggara turut memperkenalkan satu varian terbaharu bagi model popular Subaru XV, yang kini tampil dengan kit menarik STI.

Subaru Technica International (STI) secara umumnya dikenali seluruh dunia sebagai cabang pembangunan prestasi Subaru yang banyak terlibat antara lain di dalam sukan perlumbaan rali peringkat antarbangsa.

Dengan pakej Subaru XV STI Performance Edition, beberapa sentuhan kosmetik cabang perlumbaan itu disuntik pada model crossover berkenaan; antaranya spoiler STI,  perincian STI pada bahagian bawah bampar depan dan belakang, kit badan sisi serta penggunaan palang penstabil ‘STI Flexi-Tower’ diruang enjin yang memberikan lebih kemantapan kendalian pada model terbabit.

Subaru XV STI Performance Edition-0004

Bagi ruang dalaman, hanya perubahan kecil terhadap perincian dilakukan, seperti penggunaan warna berbeza pada dial tombol pengawal suhu, panel sisi dan panel pada stereng.

Bagaimanapun, tiada perbezaan prestasi yang terlibat di dalam penambahbaikan ini. Subaru XV STI Performance Edition masih menggunakan enjin boxer 2.0 liter dengan janaan kuasa 148hp dan 196Nm tork, sama dengan varian normal model ini yang masih ditawarkan kepada pelanggan.

Harga dan promosi

Subaru XV STI Performance Edition ketika pelancarannya dijual pada harga RM143,800 tidak termasuk insurans. Bagi varian biasa yang dijual sebelum ini pada harga RM145,800, promosi khas turut diadakan kini kepada pelanggan yang berminat, dengan tawaran harga promosi pada RM132,800.

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.