.

Piala Asia Dream buka jalan

POSTED BY Kaynis Chong ON 23 December 2011


Penganjur Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Petronas, Two Wheels Motor Racing (TWMR) Sdn Bhd dan Honda Motor Co. Ltd, Jepun bersama-sama akan memperkenalkan kategori baru untuk musim ARRC 2012 iaitu Piala Asia Dream.

Kelas baru ini merupakan program biasiswa kepada 21 pelumba muda berbakat dari seluruh Asia. Bermula musim tahun depan, seramai 16 pelumba dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Jepun, China, India, Filipina, Australia dan New Zealand serta lima pelumba dari negara-negara Asia lain akan mengambil bahagian pada musim pengenalan kategori ini.

Para pelumba akan menggunakan jentera Honda CBR 250R, yang juga merupakan model pengeluaran yang menyerupai kelas Moto3 yang bakal diperkenalkan dalam saingan MotoGP bermula tahun 2012. Dengan ini, Piala Asia Dream akan menjadi landasan kepada pelumba-pelumba Asia untuk beralih dari perlumbaan kategori Underbone ke kelas perlumbaan sama ada kategori 600cc, Moto3 ataupun Moto2.

Pada penghujung musim 2012 nanti, pelumba terbaik bersama-sama dua lagi pelumba terpilih akan diberi peluang untuk menguji jentera Moto3 dengan berkemungkinan untuk  mendapatkan tiket wildcard Moto3 pada 2013.

Program 5 tahun ini akan dilangsungkan bersama-sama dengan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Petronas. Ianya merupakan platform baru bagi para pelumba dari Asia untuk mencapai impian mereka untuk berlumba di dalam kejuaraan antarabangsa. – Salihin Abd Rahim, 23 Disember 2011.

 

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.