.

Nikmat kuasa secara selamat

POSTED BY Khir Wahid ON 18 June 2015

Ford Mondeo dilengkapi sistem elektronik untuk bantu pemandu

Semasa model pertama Ford yang menggunakan enjin EcoBoost tiba di Malaysia, ramai penggemar automotif yang teruja kerana ia menggunakan pengecas turbo dan dikatakan masih memberikan penggunaan bahan api yang baik.

FORD MONDEO-0004

Selepas memandu beberapa model yang dilengkapi teknologi enjin ini, penulis dapat mengesahkan enjin EcoBoost mampu memberi ‘semangat’ tambahan kepada kereta dan pasti dapat memuaskan mereka yang gemarkan keterujaan.

Enjin EcoBoost terdiri daripada kapasiti sekecil 995cc seperti yang digunakan pada model Fiesta sehinggalah 3,496cc (Ford GT). Dalam pasaran Malaysia, antara model EcoBoost yang dibawa masuk adalah Mondeo, menggunakan enjin berkapasiti 1,999cc dan transmisi automatik enam kelajuan.

Padanan gaya dan kuasa

FORD MONDEO-0007

Jika anda seorang  yang ingin tampil eksklusif dan pada masa sama gemarkan keseronokan memandu, Mondeo mungkin adalah pilihan yang sesuai.

Gaya yang dibawa hampir seperti kenderaan mewah berprestij dengan turut dilengkapi lampu siang LED serta garisan badan yang ringkas dan kemas. Jika muncul dalam cermin pandang belakang, Mondeo akan memberikan rupa yang garang memandangkan gril kromnya mempunyai bukaan yang luas sementara hud hadapan pula berbonjol seperti sebuah kereta prestasi.

Dan ya, anda sememangnya perlu gentar kerana Mondeo boleh memecut laju, bukan sekadar di jalan lurus, malah juga di selekoh. Suspensi serta tindak balas stereng yang baik membuatkan Mondeo lebih melekap di atas jalan dan pemandu boleh mengendalikannya dengan yakin.

Teknologi sokongan

FORD MONDEO-0018

Selain itu, sebagai sebuah kenderaan generasi baharu, Mondeo juga dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan berteknologi canggih, bagi menjadikan pemanduan lebih selamat dan memudahkan pemandu.

Antara yang ingin diberi perhatian adalah sistem ‘cruise control’ yang boleh membrek apabila mengesan trafik di hadapan semakin perlahan. Apabila keadaan kembali lancar, ia akan membawa kenderaan kepada kelajuan yang telah ditetapkan awalnya. Bermakna, anda tidak perlu kerap mengaktifkan dan menutup sistem ‘cruise control’.

Mondeo juga mempunyai lampu amaran di atas papan pemuka yang memberi amaran sekiranya mengesan bahaya, membrek sendiri, mengekalkan kenderaan di dalam lorong dan menggetarkan stereng sekiranya melintasi garisan lorong sekiranya tidak menyalakan lampu penunjuk arah.

Semua sistem ini sememangnya memberikan perlindungan tambahan kepada pemandu tetapi bagi penulis, apabila dipasang, keadaan menjadi kurang tenang dan mengganggu kualiti pemanduan. Penulis juga ada mencuba untuk menutup semua sistem ini, tetapi selepas hampir 20 minit bermain dengan pelbagai butang, ia sekadar boleh dikurangkan sensitivitinya.

Jadi, sepanjang tiga hari memandunya, penulis terpaksa bertahan memandu dengan lampu LED terang berwarna merah yang kerap berkelip menyilaukan pandangan, stereng yang bergetar apabila melalui garisan putih jalan dan radio yang diperlahankan secara automatik.

Penggunaan minyak purata yang dicatat pula adalah sekitar 7.7km/l.

-Durrani Sharom-

[email protected]

SPESIFIKASI Ford Mondeo

Enjin: 2.0L I-4 GTDI EcoBoost

Transmisi: Automatik Selectshift Enam kelajuan

Kuasa maksimum: 238hp @ 5,300rpm

Tork maksimum: 345Nm @ 2,300 – 4,900rpm

Ciri keselamatan: Beg udara hadapan, sisi, bidai dan kaki, ESC, ABS, EBD, Lane Keeping Aid, Emergency Brake Assist, Hill Launch Assist, penggera Thatcham, ISOFIX

Harga: RM198,000 (dengan GST, tanpa insurans)

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.