.

MPV dengan kepelbagaian

POSTED BY Asyikin Md. Isa ON 21 August 2015

Citroen Grand C4 Picasso eTHP beri lebih kuasa

Picasso - 01Ketika mula diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada Julai 2014, Citroen Grand C4 Picasso 2.0L hanya ditawarkan dengan pilihan enjin diesel. Namun, pada April lalu, satu lagi varian diperkenalkan dengan pilihan enjin 1.6 liter janaan petrol.

Di antara kedua-duanya, memang terdapat perbezaaan, yang kalau pun tidak terlalu ketara, tetap memerlukan pertimbangan lanjut sebelum membuat keputusan untuk membelinya. Tetapi, ada satu persamaan yang sukar disangkal; Citroen Grand C4 Picasso sangat menonjol sebagai sebuah MPV yang begitu praktikal dan mampu menawarkan keselesaan kepada penumpang.

Dengan tradisi dan sejarah panjang Citroen sebagai pengeluar MPV antara yang terawal sejak dahulu, ketelitian yang sama dipertingkat untuk menjadikan model ini sangat kompetetif. Lebih penting, ia memiliki semua yang dijangkakan bagi sebuah MPV, apa lagi latar utama kebarangkalian mereka yang memilikinya adalah untuk tujuan kegunaan sebagai kenderaan keluarga.

Versi enjin petrol yang dipandu uji ini, walaupun dengan kapasiti enjin yang sedikit lebih rendah, menjana lebih kuasa berbanding versi dieselnya; enjin petrol berkenaan memiliki pengeluaran kuasa 163hp berbanding 148hp yang dijana oleh enjin diesel.

Pemanduan dan ketelitian

Citroen Grand C4 Picasso boleh saja dikategorikan mempunyai pelbagai ciri premium yang meletakkannya di dalam tahap tersendiri sebagai sebuah MPV, terutama jika mengambil kira penawaran segmen berkenaan di Malaysia.

Ia memiliki ketelitian buatan dan rekaan yang tinggi; bumbung panoramik yang luas, konfigurasi tempat duduk yang boleh diubah bergantung kepada keperluan pengguna termasuk ketika memerlukan ruang yang lebih, teknologi elektronik yang melengkapinya serta pakej ciri-ciri keselamatan termaju yang disertakan.

Picasso - 05Semua ini menjadikan pengalaman pemanduan MPV ini begitu menyenangkan. Aspek prestasi juga tidak mengecewakan, memandangkan ia sebuah kenderaan yang agak besar dan luas. Unit petrol yang dipandu ini dirasakan memberikan maklumbalas yang baik, dengan kuasa yang memadai sama ada ketika ingin memulakan pergerakan mahupun ketika sudah berada di dalam gear paling tinggi. Responsif; pemandu akan dapat mengesannya dengan mudah.

Sarat teknologi

Menyentuh tentang teknologi yang didatangkan bersekali di dalam penawaran MPV ini, terdapat terlalu banyak perkara yang perlu disebutkan. Sebahagian daripadanya adalah sistem sokongan dan amaran dalam pemanduan, misalnya ABS, ESP yang menjaga kestabilan kenderaan, bantuan brek kecemasan EBA serta kawalan cengkaman ASR dan banyak lagi.

Tidak hanya ciri keselamatan yang menjadikannya unik. Paparan skrin panoramik 12 inci utama pada bahagian atas papan pemuka memaparkan pelbagai maklumat pemanduan dengan jelas. Sedikit disebelah bawahnya, terdapat satu lagi skrin paparan antaranya untuk maklumat audio 100 peratus digital, secara berasingan.

Picasso - 17Dengan kemampuan membawa penumpang sehingga tujuh orang dengan selesa, serta pelbagai kelebihan lain untuk kegunaan yang bermacam-macam, Citroen Grand C4 Picasso janaan enjin petrol mungkin satu-satunya pilihan MPV yang paling bergaya ditawarkan ketika ini. Dan, jika anda mampu untuk memilikinya, anda pasti tidak akan kecewa dengan kemampuannya.

– Hazril Hafiz

 Spesifikasi Citroen Grand C4 Picasso eTHP

Enjin: 1,598cc, suntikan terus petrol

Kuasa maksimum: 163hp @ 6,000rpm

Tork maksimum: 240Nm @ 1,400rpm

Transmisi: Automatik 6-kelajuan

Ciri-ciri keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, EBA, ESP, ASR dan sebagainya.

Penggunaan minyak: 5.8 liter / 100 kilometer

Kelajuan maksimum: 201kmj

Harga: RM179,888 (dengan insurans)

 

 

 

 

 

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.