.

Mazda2 catat 30.86km/l dari Bangkok ke Changlun

POSTED BY Asyikin Md. Isa ON 20 March 2015

Pemanduan dilakukan menyamai keadaan sebenar perjalanan

Di Malaysia, diesel hanya lebih banyak digunakan oleh kenderaan komersial sedangkan di luar, terutamanya negara-negara Eropah, kebanyakan kenderaan penumpang lain juga menggunakan diesel.

Mazda2 Diesel bangkok-6

Selain faktor penentu seperti cukai yang membuatkan pemilikan kenderaan diesel lebih murah, enjin yang digunakan pada kenderaan diesel moden dan kualiti diesel Euro 5 yang jauh lebih baik juga menghapuskan persepsi bahawa kenderaan diesel tidak mesra alam.

Dari sisi pengguna, kenderaan diesel mampu menggunakan bahan api dengan lebih cekap, seterusnya memberikan jarak lebih jauh bagi setiap isian berbanding kenderaan petrol selain tarikan yang lebih berkuasa pada rpm rendah dan memudahkan pemanduan.

BH Auto berpeluang merasakan sendiri pengalaman memandu kenderaan penumpang diesel dalam satu sesi yang diadakan oleh pengedar rasmi kenderaan Mazda di Malaysia, Bermaz Motor Sdn Bhd dengan kerjasama Mazda Thailand dari Bangkok ke Pulau Pinang menggunakan Mazda2 Skyactiv-D.

Barisan kenderaan Mazda2 sudah dilancarkan di Malaysia Januari lalu tetapi varian yang menggunakan enjin diesel ini hanya dijangka tiba suku ketiga tahun ini.

Dalam acara ini, penggunaan minyak (diesel) kami dikira bermula dari Bangkok hingga ke Changlun, Kedah. Bagi memastikan keadaan pemanduan menyamai seperti keadaan sebenar, pihak penganjur telah siap memasang pendingin hawa pada tahap tertentu dan peserta tidak dibenarkan menyentuhnya. Begitu juga dengan hud hadapan, cermin sisi serta tempat mengisi minyak.

Mazda2 Diesel bangkok-14

Selain itu, peserta juga dikehendaki berhenti di beberapa tempat pemeriksaan dalam masa tertentu bagi memastikan mereka tidak memandu terlalu perlahan.

Selepas 1,041 kilometer (Bangkok – Changlun), kenderaan yang dipandu penulis dan seorang lagi rakan media mencatatkan penggunaan minyak hanya 33.7 liter, bersamaan RM65.72 (bagi harga diesel Malaysia RM1.95/liter). Bagi harga diesel V-Power Thailand yang berada pada THB29.78/liter (RM3.36), ini bersamaan THB1,003.59 (RM113.20). Dalam kiraan lain, ia juga bersamaan dengan 30.86km/l.

Jika anda tertanya berapakah kelajuan purata kami, ia adalah sekitar 80km/j dan maksimum pula adalah 100km/j. Sekiranya anda pernah melalui jalan di Thailand, anda akan tahu bahawa kelajuan ini adalah berpatutan kerana walaupun digelar lebuh raya, jalan dua lorong ini mempunyai banyak halangan dan bahaya yang boleh menjelma tiba-tiba. Antaranya adalah seperti kenderaan yang membuat pusingan U sesuka hati, pejalan kaki melintas, halangan polis dan pelbagai lagi.

Catatan ini dianggap dapat memberikan lebih nilai kepada pengguna dan selain faktor pemandu yang tahu cara memandu yang berkesan, faktor paling penting adalah kecekapan kenderaan itu sendiri.

Mazda2 Diesel bangkok-19

Mazda2 Skyactiv-D ini menggunakan enjin 1.5 liter berserta pengecas turbo dan enjin ini telah diberi pelbagai penambah baikan berbanding enjin diesel konvensional untuk menjadikannya lebih cekap. Paling ‘membuka mata’ adalah Mazda berjaya menurunkan nisbah mampatan kepada 14.8:1, seterusnya mengurangkan pelepasan gas, mengoptimumkan pemasaan pembakaran dan meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.

Menurut sumber, Mazda2 Skyactiv-D (diesel) ini dalam perancangan untuk diperkenalkan di Malaysia dan ia dijangka berlaku pada suku ketiga tahun ini. Pada waktu ini, Bermaz Motor sudah mempunyai satu unit Mazda2 Skyactiv-D dan ia kini sedang menjalani proses ujian memandangkan diesel di negara kita hanya berada di tahap rendah iaitu Euro2M.

Sekiranya diesel Euro 5 sudah berada di Malaysia secara menyeluruh, pengeluar kenderaan pasti tidak akan teragak-agak untuk memasarkan kenderaan kuasa diesel mereka di Malaysia.

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.