.

Kompak dan tetap berdaya saing

POSTED BY Khir Wahid ON 20 May 2015

Antara kenderaan kompak segmen B, apa kelebihan Honda Jazz dan Mazda2 Skyactiv-G?

Kereta kompak dalam segmen-B semakin diminati ramai jika dinilai berdasarkan catatan jualannya yang mendahului kereta dari jenis lain. Melihat pada kelengkapan yang terdapat padanya, ia hadir dengan ciri estetika dan sistem keselamatan tambahan yang semakin lengkap.

JAZZ VS MAZDA-0001Ternyata kereta kompak memiliki pelbagai sisi yang mampu menambat hati pembeli, sekaligus menjadikannya kereta pilihan untuk kegunaan keluarga. BH Auto mempertemukan dua model segmen berkenaan yang semakin popular kini, Honda Jazz dan Mazda2 Hatchback untuk melihat sejauh mana kereta kompak mampu memenuhi keperluan penggunanya.

Reka bentuk luaran

JAZZ VS MAZDA-0006Rekaan Honda Jazz lebih agresif dengan garisan badan berkarakter moden berbanding Mazda yang tampil elegan dengan garis badan yang lebih ‘lembut’. Keduanya memiliki rangka binaan yang meyakinkan serta didatangkan dengan gaya berbeza.

Honda Jazz menerapkan reka bentuk hampir lurus dengan ciri sporty, bermula dari bahagian hadapan hingga belakang bertujuan untuk mengurangkan geseran angin. Sementara Mazda 2 menampilkan rekaan dengan fokus utama pada ‘A-pillar’ yang menawan.

Honda Jazz berbentuk seakan kotak disamping gaya lebih garang dengan garisan badan yang tajam manakala Mazda 2 menyerlahkan gaya atletik hasil daripada rekaannya yang lebih rendah berbanding Honda Jazz; Mazda 2 mungkin punyai sedikit kelebihan bagi pengguna yang inginkan sebuah kenderaan dengan reka bentuk hatchback yang asli.

Reka bentuk dalaman

INTERIOR JAZZ-0002Secara keseluruhannya, Honda Jazz akan menjadi pilihan yang sangan jelas bagi pengguna yang inginkan ruang dalam kereta yang luas dan selesa. Tidak jauh daripada pendekatan model keluaran Honda yang lain, yang sentiasa menyediakan rekaan ruang kabin yang lebih luas berbanding pesaingnya.

Seterusnya, Honda Jazz dilihat sebagai memiliki kabin pelbagai fungsi dengan kemasan ruang letak barangan yang luas, menambah kepada nilai praktikalitinya. Sebagai contoh, di bawah bahagian sandar tangan, terdapat ruang  bersaiz sederhana yang mampu memuatkan barangan peribadi pemilik seperti cermin mata, dompet dan sebagainya. Selain itu, ruang letak cawan juga pasti menjadi nilai tambah bagi pengguna yang menghargainya.

Penumpang akan mendapati kerusi Honda Jazz adalah luas dan selesa walaupun ia agak rata dan sedikit nipis berbanding model sebelumnya. Ruang belakang Honda Jazz pula menawarkan ruang luas bagi penumpang dan barangan. Kerusi Ultra menawarkan ruang yang boleh dimanfaatkan pengguna walaupun kerusi berada dalam kedudukan asal. Hal ini memberi kelebihan buat pengguna dan barangan seperti kasut yang selalu diletakkan di dalam kereta, kerana ia akan terhindar dari penglihatan penjenayah kerana ia terlindung di bawah kerusi.

INTERIOR MAZDA-0002Mazda2  pula menekankan ciri minimalis tetapi elegan, dan ia jelas dapat dilihat dari rekaan dalamannya yang menawan dan kemas. Ruang menyimpan di bahagian sebelah kiri pemandu terdiri dari pemegang cawan dan ruang menyimpan di bawah kawalan penghawa dingin pasti memudahkan. Kerusi Mazda2 tampak lebih selesa berbanding kerusi Honda Jazz; ruang kaki kerusi hadapan adalah luas dan selesa manakala disebelah sisi kerusi terdapat kusyen kulit bagi sokongan tambahan.

Mazda2 juga mempunyai ciri rekaan corong penghawa dingin berbentuk bulat – menjimatkan ruang bagi sebarang halangan untuk sistem skrin sesentuh – digabungkan dengan bahagian dalaman kabin dengan pesona kemasan kulit dan kerusi serta papan pemuka yang memukau. Ia berada satu tahap lebih berbanding kebiasaan yang ditawarkan bagi kenderaan dalam kelas ini, termasuk jika dibanding dengan Honda Jazz.

Honda Jazz memiliki ruang dalaman yang lebih luas berbanding Mazda2. Namun Mazda2 memastikan keselesaan penumpang dengan rekaan yang sangat cermat di bahagian kabin; ringkas, selesa dan empuk.

Pengalaman Pemanduan

JAZZ VS MAZDA-0013

Mazda2 mungkin memiliki kekurangan dari aspek praktikaliti ruang, namun itu akan ditimbal balik dengan ciri pemanduan yang dinamik. Ada satu lagi ‘rahsia’; suis mod Sport terletak hampir dengan kedudukan tombol gear akan memberikan satu dimensi pemanduan yang lain.

Ia bertukar memberikan respon pemanduan yang lebih agresif dan menyeronokkan. Pedal minyak, pertukaran gear, malahan kuasanya dirasakan berada di atas satu tahap lagi berbanding mod pemanduan biasa.

Dengan ciri i-Stop, Mazda2 akan ‘bertukar’ pula menjadi sebuah kenderaan yang cekap tenaga; melalui sistem berkenaan, enjinnya  akan mati/hidup sendiri bergantung kepada keadaan pemanduan dan trafik semasa, bertujuan untuk menjimatkan petrol. Tersangkut dalam kesesakan lalulintas tidak akan menjadi masalah pada meter takat petrolnya.

Jika dibandingkan dengan Honda Jazz, kawalan sterengnya adalah lebih cekap selaras dengan pertambahan kelajuan dan ia adalah yang paling stabil bagi kelasnya.

Kebolehan Mazda untuk meluncur disebarang permukaan memberi kesan kepada kawalan pergerakan terutama semasa pemanduan laju. Seterusnya, kelemahan yang boleh dijangka ialah seperti Mazda 2 yang kurang cekap berhadapan bonggol dan laluan mencabar.

Honda Jazz mungkin dirasakan sedikit kurang pada aspek sistem transmisi  CVT yang melengkapinya. Berbeza dengan Mazda2, Honda Jazz memberi tumpuan kepada praktikaliti penggunaannya. Bagi aspek pemanduan, ia mungkin sebuah kereta yang akan anda hargai dan ingin pandu untuk perjalanan jauh yang lebih santai. Ruangnya juga akan membuatkan penumpang lebih selesa, walaupun dalam kapasiti penumpang penuh.

Saranan

JAZZ VS MAZDA-0004Kedua-dua model Mazda dan Honda ini tampil dengan kelebihan masing-masing; keunikan setiap model turut bergantung kepada strategi kelompok sasaran masing-masing yang digunakan oleh kedua-dua pengeluar berkenaan.

Honda Jazz ialah sebuah kereta kompak yang sesuai untuk kegunaan seisi keluarga. Dari sisi pemanduan, tidak sukar untuk membuat pilihan; Mazda2 memiliki kelebihan bagi aspek ini diantara keduanya.

Jadi, untuk memilih, tentukan dulu perkara-perkara yang anda perlukan dan jangkakan dari keduanya. Sukar untuk membuat pilihan yang salah diantara kedua model hatchback ini; cuma kedua-duanya memiliki kelebihan dalam aspek yang berbeza.

Spesifikasi Honda Jazz 1.5L V

Enjin: 1,497cc SOHC i-VTEC

Kuasa Max: 118hp @ 6,600rpm

Tork Max: 145Nm @ 4,600rpm

Transmisi: Varian transmisi, pemanduan tayar hadapan

Ciri Keselamatan: enam airbag, ABS, EBD, BA, VSA, hill start assist, emergency stop signal

Harga: RM87,800 OTR dengan insurans

Spesifikasi Mazda2 1.5 Skyactiv-G Hatchback

Enjin: SkyActiv-G 1.5-litre 16-valve in-line four

Kuasa Max : 114hp @ 6,000rpm

Tork Max: 148Nm @ 4,000rpm

Transmisi: Enam kelajuan automatik, pemanduan tayar hadapan

Ciri keselamatan: Kawalan kestabilan dinamik, kawalan traction,  ABS with EBD dan brek sokongan, hill sokongan laluan berbukit, dua airbag

Harga: RM88,115.20 dengan insurans

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.