.

Kereta Baru: Ford Mondeo dan S-Max

POSTED BY Kaynis Chong ON 27 July 2011

Mondeo dan S-Max guna enjin Eco-Boost

Enjin baru yang dibangunkan Ford kini sudah tiba di Malaysia. Sebagai pengenalan pertama, enjin Eco-Boost 2.0L I-4 akan dimuatkan dalam Mondeo sedan baru dan MPV S-Max dan digabungkan dengan transmisi automatik enam kelajuan PowerShift. Kedua-dua kenderaan ini mempunyai kuasa 203hp dan 300Nm tork.

“Enjin Eco-Boost menggabungkan suntikan petrol terusdan pengecas turbo pada enjin berkapasiti kecil untuk penggunaan bahan api yang lebih cekap, kurang pembebasan karbon dioksida dan prestasi pemanduan seperti kenderaan berkapasiti besar,” kata Pengurus Rantau Asia pasifik Operasi Eksport Ford, David Westerman.

Selain enjin Eco-Boost dan PowerShift, Mondeo baru turut dipertingkat daripada segi penampilan serta teknologi pintar dengan suis kawalan di stereng di samping mengekalkan ciri asalnya termasuk ABS, EBD, ESP, TC dan pengiktirafan lima bintang oleh Euro NCAP.

MPV S-Max pula merupakan sebuah kenderaan tujuh tempat duduk lengkap dengan ciri lampu LED di belakang dan hadapan, pengesan di hadapan dan belakang serta ruang barangan berkeluasan 285 liter padu. Apabila tempat duduk dilipat, pengguna boleh memuatkan sehingga 1,171 liter padu barangan.

Harga untuk kedua-dua kenderaan ini masih belum ditetapkan namun dianggarkan terletak pada lingkungan RM180,000 hingga RM185,000 untuk Mondeo baru dan RM185,000 hingga RM188,000 untuk S-Max. –  BH Auto, 8 Julai 2011.

Diary READ MORE

Sorry, no posts matched your criteria.