.

Kemuncak prestasi Porsche

POSTED BY Khir Wahid ON 18 June 2015

Model Boxster GTS unjur kemantapan pemanduan

Logo GTS membawa maksud yang tersendiri buat barisan kenderaan keluaran Porsche. Ia adalah tanda yang akan membuatkan mereka yang menghargai faktor prestasi sesebuah kenderaan tak senang duduk dan resah.

BOXSTER GTS-0019

Ia bermula pada 1963, ketika tanda ini pertama kali digunakan pada kereta lumba 904 Carrera GTS. Dalam sejarah terdekat, tanda GTS diperkenalkan semula pada 2007, ketika Porsche memperkenalkan Cayenne GTS. Kemudiannya, ia digunakan juga untuk model lain seperti siri 911 dan Panamera. Jadi, ada apa dengan GTS?

Ia adalah tanda nama yang memaklumkan bahawa varian ini bukanlah sembarangan; ia antara versi tertinggi model-model kenderaan dalam barisan produk Porsche, dan mementingkan keseimbangan pada dua perkara – prestasi puncak dan kemantapan pengendalian yang tidak boleh dikompromi.

Ternyata elemen itulah  yang dapat dirasakan ketika sesi pandu uji pengenalan bagi model Porsche Boxter GTS di Singapura. GTS memberi definisi tersendiri yang lebih mengujakan pada model sports dua tempat duduk berkenaan.

Prestasi mengujakan

BOXSTER GTS-0008

Segala sudut kereta ini diberi perincian dan ketelitian selayaknya sebuah kereta sport. Dengan kedudukan enjin ditengah, tempat duduk yang memeluk dengan erat pemandu dan penumpang, serta lonjakkan kuasa dari enjin yang menerbitkan keghairahan tersendiri model ini.

Dua perkara yang turut menjadi tonggak utama kepada aspek prestasinya adalah padanan enjin dan transmisi yang digunakan. Enjin enam silinder rata dengan kapasiti 3.4 liter yang diwarisi daripada Boxster S, tetapi tentunya dengan peningkatan kuasa. Enjin dengan talaan baharu ini menjana 15hp lebih kuasa berbanding talaan asalnya, dengan bacaan output maksimum 330hp.

Angka-angka lain untuk menggambarkan prestasinya adalah seperti berikut; 4.7 saat dari 0-100kmj, 281kmj kelajuan maksimum dengan bacaan penggunaan petrol 8.2l/100km.

Pemanduan dan adrenalin

BOXSTER GTS-0002

Untuk memandu dan mengendalikan prestasi yang ada padanya, pemandu tentulah perlu lebih peka terhadap maklum balas keseluruhan kereta ini. Dengan membiasakan diri terlebih dahulu dalam tempoh-tempoh awal pemanduan, Porsche Boxster GTS sangat menyenangkan untuk dipandu.

Turunkan bumbung, tarik tali keledar, perhatikan sekeliling. Sebaik sahaja kaki menginjak pedal minyak, serta-merta anda akan merasa sensasi dan adrenalinnya. Tentu saja dengan andaian bahawa si pemandu mempu mengendalikannya dengan selamat.

Imejnya mempunyai elemen urban  yang kuat. Prestasinya pula berada pada garisan sport dan ketangkasan yang sangat menarik. Sebagai tambahan, pilih mod pemanduan yang ada; antara Normal dan Sport, dan rasakan lonjakkan kuasa yang ada.

Laluan pandu uji di Singapura, yang antaranya melalui kawasan-kawasan seperti Kent Ridge Park, Sungei Buloh Wetland Reserve dengan titik mula dan tamat dari tengah bandar, menyediakan sedikit-sebanyak peluang untuk meletakkan kereta ini di dalam formasi terbaiknya, melalui pelbagai corak jalan dan laluan.

Porsche Boxter GTS terbaharu ini mempunyai banyak kelainan berbanding Boxster sebelumnya. Dengan tanda GTS, ia melangkau lebih jauh ke depan dengan ketangkasan dan prestasi. -Hazril Hafiz- [email protected]

Spesifikasi Porsche Boxster GTS

Enjin: 3,436cc, enam silinder rata, sejukan cecair, 4 injap setiap silinder dengan fungsi Start/Stop

Kuasa maksimum: 330hp @ 6,700rpm

Tork maksimum: 370Nm @ 4,500-5,800rpm

Transmisi: PDK 7-kelajuan

Rev maksimum: 7,800rpm

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.