.

Kembara 1,800km Aprilia Caponord

POSTED BY Asyikin Md. Isa ON 08 March 2015

Kuala Lumpur ke Krabi, kembali tanpa sebarang masalah

Motosikal kini bukan setakat sebuah pengangkut. Tidak mengira jenis atau kapasiti, ia juga berkait rapat dengan pengembaraan; yang lebih memuaskan, jimat dan mudah. Mereka yang tidak menunggang motosikal mungkin sukar memahaminya tetapi bagi yang sudah mengalami sendiri, kepuasannya sukar digambarkan.

Untuk tujuan ini, Aprilia mempunyai sebuah motosikal serba boleh iaitu Caponord 1200 yang sememangnya dicipta untuk mengembara dan ditambah dengan karekter sport. Selepas satu tahun berada dalam pasaran Malaysia, bilangan pemiliknya semakin bertambah, apatah lagi apabila pakej yang ditawarkan oleh Naza Premira Sdn Bhd selaku pengimportnya sangat menarik.

Untuk merancakkan lagi semangat antara pemilik Caponord, Naza Premira menganjurkan satu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Krabi, Thailand. Walaupun sebenarnya mempunyai lebih ramai ahli yang aktif, konvoi jarak jauh pertama pemilik Caponord ini hanya disertai oleh 10 buah Caponord dan enam daripadanya dinaiki berdua, bersama pasangan. Turut serta adalah ahli Naza Premira dan wakil media yang menunggang Shiver 750, SRV 850, Tuono V4R dan Dorsoduro 1200.

Caponord Krabi - 07

Dengan semangat membara, peserta bergerak dari Rawang pada jam 5.30 pagi dan tiba di sempadan Khuan Don, Thailand pada jam 12.30 tengah hari. Hasil persiapan dan perancangan rapi, segala urusan insurans, kastam dan imigresen berjalan lancar. Menjelang jam enam petang waktu tempatan, semua peserta tiba dengan selamat di Palm Paradise Resort, Krabi, Thailand.

Dua hari di Krabi, aktiviti yang diadakan lebih kepada santai, termasuk singgah di beberapa pulau menaiki bot, snorkeling, lepak di pantai dan bersiar-siar di pekan Ao Nang dan Krabi.

Puas menikmati keindahan negara jiran, keesokannya kumpulan ini bergerak kembali menuju ke Malaysia, tetapi singgah bermalam di Danok selepas melalui Trang, Patthalung, Songkhla dan Hat Yai. Hari seterusnya barulah perjalanan ke Kuala Lumpur diteruskan.

Secara keseluruhan, konvoi ini mencatat perjalanan sejauh 1,820 kilometer. Bagi penulis, ada kalanya, tujuan itu tidak begitu penting tetapi perjalanan itu sendiri yang memberi makna. Dan untuk konvoi Aprilia Caponord ini, ditemani dengan kumpulan penunggang yang bagus dari segi sikap dan cara menunggang membuatkan ia satu pengalaman yang sentiasa diingati oleh penulis.

Caponord Krabi - 04

Bagi yang belum pernah menunggang di Thailand, anda perlu mencubanya sendiri. Di samping banyak tujuan atau tempat menarik yang boleh dikunjungi, suasana dan cabarannya berbeza berbanding di Malaysia.

Keadaan jalan dan trafiknya tidak menentu, memerlukan penunggang sentiasa perlu lebih berhati-hati sepanjang masa. Dan pada waktu ini, ciri elektronik pada Caponord banyak memberi lebih keyakinan untuk berhadapan keadaan tidak dijangka. – Durrani Sharom

 

 

 

 

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.