.

Kelahiran semula Ford Ranger

POSTED BY Kaynis Chong ON 27 December 2011

Tahun depan mungkin menjadi tahun yang lebih menarik kepada penggemar-penggemar kenderaan trak pikap tempatan. Untuk beberapa ketika kebelakangan ini, pasaran trak tempatan tidak menerima model baru, hanya beberapa varians tambahan dari model sama atau pun, paling kerap, versi ’facelift’ model-model sedia ada. Bagi 2012, beberapa model pikap akan diperkenalkan, dan satu daripadanya ialah Ford Ranger 2012.

Ia merupakan sebuah pikap global yang dihasilkan oleh Ford, dan akan dikilangkan di Thailand untuk pasaran-pasaran utama dunia. Model ini dijangka akan mula dipasarkan diMalaysiaoleh Sime Darby Auto ConneXion Sdn Bhd menjelang pertengahan tahun hadapan.

Untuk pasaran Malaysia dua kapasiti enjin diesel dengan bantuan turbo dijangka akan diperkenalkan bagi model terbaru ini, iaitu Duratorq TDCi 2.2L VG Turbo dan Duratorq TDCi 3.2L VG Turbo.

Padanan transmisi 6-kelajuan bagi model manual yang ditawarkan sebagai ciri utama model ini juga turut memberikan kelebihan kepada menyaluran kuasa dan prestasi keseluruhan Ford Ranger. Selain versi manual, transmisi automatik 5-kelajuan turut ditawarkan. Setiap varians enjin dan transmisi pada Ford Ranger ini ialah ‘powertrain’ dan transmisi serba baru dibangunkan khusus untuknya.

Ini antara perkara-perkara yang diberi penekanan oleh Ford ketika mengkaji aspek pembangunan bagi model terbabit. Menurut Pengurus Kejuruteraan Pelancaran Ford Ranger, James Henderson, model terbaru ini dilengkapi dengan pelbagai ciri baru yang lebih segar. “Dengan model terbaru ini, Ford ingin menghasilkan sebuah trak yang tahan lasak dan berkuasa, melebihi pesaing di dalam segmen sama. Juga dalam masa sama, kami mahukan sebuah trak dengan reka bentuk yang tidak lagi berada di takuk lama,” tambah James.

Ford Ranger Wildtrack 4×4 turut menjadi versi spesifikasi lengkap model terbabit, termasuk dengan ciri-ciri tambahan kosmetik yang lebih garang dan menawan, transmisi 6-kelajuan automatik (bagi versi enjin 3.2 liter) serta kawalan elektronik seperti ‘Hill-Descent Control’ yang banyak membantu ketika menuruni laluan lasak dan curam.

Pemanduan 145km di pelbagai permukaan

November lalu, sesi pandu uji media bagi Ford Ranger berlangsung di Chiang Rai, kawasan tanah tinggi di utaraThailand. Pengalaman pertama memandu uji Ford Ranger terbaru ini, di kawasan dan permukaan laluan seperti itu, memberikan peluang yang baik untuk sedikit sebanyak mengenali jentera terbaru dari pembuat kenderaan Amerika ini.

Bermula dari pusat bandar, laluan perjalanan sepanjang 145km yang terdiri daripada pelbagai keadaan dan permukaan jalan dimulakan dengan memandu Ford Ranger 2.2L 4×2 enam-kelajuan manual. Sebagai antara model paling ringkas dari keluarga Ford Ranger terbaru ini, pengalaman pertama memandunya cukup mengkagumkan. Walaupun tampil ringkas, penyaluran kuasa dari enjinnya begitu mewah, dan serta-merta menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan.

Keadaan penumpang di dalam juga agak selesa, tidak terlalu keras dan merimaskan seperti kebiasaan trak-trak pikap konvensional. Walaupun sebuah trak, memandu model ini tidak jauh beza jika dibandingkan dengan memandu kereta penumpang biasa. Fizikal dan reka bentuknya memang sedikit lain, tetapi pengendalian stereng dan sebagainya amat mudah. Cuma, kerana ia berkuasa dan dengan transmisi manual, sedikit masa diperlukan untuk mengimbangkan saluran kuasa tork pada kedudukan gear rendah. Klacnya juga tidak berat.

Permukaan jalan berbukit

Memasuki laluan jalan di kawasan berbukit, barulah terasa karektor Ford Ranger bertukar kepada jentera yang lebih tangkas. Maklum balas stereng dan brek yang cepat membantu memudahkan kawalan.

Dari kawasan tanah tinggi Doi Chang, model 2.2L 4×4 Wildtrack pula dicuba. Ia dilengkapi dengan transmisi automatik enam kelajuan yang cukup selesa dipandu. Namun, diperingkat ini, laluan yang menanti lebih mencabar – offroad dan berlecak serta laluan menuruni curam. Mod pemanduan ditukar kepada pacuan empat roda sepenuhnya, hanya dengan satu suis dan pada kebanyakan waktu, hanya gear 1 dan 2 saja yang digunakan.

Disebabkan ia bukan Wildtrack 3.2L, unit pandu uji berkenaan tidak dilengkapi ciri ‘Hill-Descent Control’. Bagaimanapun, hanya dengan mengendalikan stereng, brek dan kedudukan gear rendah, laluan mencabar seperti itu mudah saja dilalui. Satu lagi laluan lain ialah untuk merentasi air yang agak dalam. Sebagai makluman, model terbaru Ford Ranger dibangunkan dengan kemampuan untuk meredah air pada kedalaman 800mm (water wading). Ia melepasi hadangan air dengan tenang, tanpa ada air yang memasuki ruang kabin mahupun memberikan kesan kepada enjin.

Keseluruhan

Ford Ranger 2012 mempunyai banyak kelebihan dalam menawarkan sebuah trak pikap moden untuk pengguna. Melihat daripada kemampuannya, mereka yang menggilai trak pikap untuk pemanduan lasak pasti akan bersetuju dengan kemampuan dan ketangkasannya. Kepada mereka yang ingin memandunya di jalan biasa juga dan bukannya peminat tegar kenderaan pacuan empat roda tentunya boleh tertawan dengan ciri moden serta reka bentuk menawan yang ada padanya.

 

2. Penekanan reka bentuk praktikaliti Ford Ranger

Menurut Pengurus Rekabentuk, Ford Asia Pasifik dan Afrika, Peter Jones, Ford Ranger direka sebegitu terperinci dengan memberi perhatian kepada reka bentuk yang praktikal. Beliau antara lain merujuk kepada ruang kabin dan ruang barangan (ekor) trak terbaru Ford itu.

”Walaupun secara umum, pengguna tidak akan menyedari kepentingan reka bentuk ini, lambat-laun mereka akan mula menghargainya,” jelas Peter. Antara perkara yang dirujuknya ialah rekaan-rekaan ’kecil’ untuk meletak barangan yang ada pada model terbabit. Misalnya, pada ruang barangan papan pemuka (glovebox) sebelah penumpang, ia boleh menempatkan sebuah lapton dengan saiz penuh tanpa masalah. Begitu juga  dengan ruang-ruang pada panel pintu, ruang meletak cawan dan sebagainya.

Ruang kabin model ini juga lebih luas, bagi kedua-dua penumpang di depan mahupun di belakang. Sebagai contoh, untuk mengoptimumkan ruang mengangkut barang di dalam kabin, kerusi penumpang belakang boleh dilipatkan untuk memberi lebih ruang.

“Bayangkan pendekatan yang ada pada jam G-Shock (Casio), yang mempertemukan kecekapan mekanikal yang dilindungi oleh bekas luar yang tahan lasak. Itu antara idea yang kami ingin sampaikan melalui model ini,” jelas Peter lagi.

”Dengan Ford Ranger terbaru ini, pengalaman memandu dan memiliki trak pikap tidak lagi sama seperti sebelumnya,” tambah beliau lagi. – Hazril Hafiz, 23 Disember 2011.

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.