.

Isuzu V-Cross Safari 3.0L

POSTED BY Kaynis Chong ON 19 June 2014

Isuzu D-Max V-Cross Safari 3.0L-0009Kuasa adalah segala-galanya

D-Max kembali dengan varian baharu, enjin 3.0 liter

Ketika D-Max generasi terkini diperkenalkan di Malaysia tahun lalu, hanya varian dengan enjin 2.5 liter diperkenalkan. Enjin baru itu, dengan ciri Variable Geometry System (VGS, turbo) menjadikan pakej penawaran model terbabit begitu berdaya saing. Tidak hanya berkuasa – ketika itu enjinnya menjana 136PS dan 320Nm tork – D-Max dirasakan mempunyai cukup ciri menarik yang akan membantu melonjakkan reputasinya sebagai sebuah trak pikap yang ada kepelbagaian kegunaan.

Namun begitu, penawaran Isuzu Malaysia untuk pelanggannya tidak berakhir di situ. Isnin lalu BH Auto mengikuti sesi pandu uji varian terbaru model ini pula, Isuzu D-Max V-Cross 3.0 ke Pulau Pinang. Jika ada yang tertanya-tanya adakah penawaran varian dengan enjin 3.0 liter ini perlu, terutama selepas melihat kepada kecekapan enjin 2.5 liter sebelum ini, jawapannya ada di pasaran Sabah dan Sarawak.

Penggunaan di sana lebih cenderung kepada trak pikap 3.0 liter, dan Isuzu tentunya ingin memainkan peranan utama dalam memenuhi permintaan itu. Antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini, selain daripada keadaan muka bumi yang berbukit bukau dan laluan mencabar, adalah kadar cukai jalan yang jauh lebih rendah bagi kenderaan 3.0 liter berbanding di Semenanjung. Versi V-Cross ini tentunya mensasarkan pasaran di Borneo sebagai lubuk utamanya.

Isuzu D-Max V-Cross Safari 3.0L-0000

Prestasi dan pemanduan

Juga dilengkapi dengan ciri VGS, D-Max V-Cross ini menawarkan kuasa yang lebih padu bagi sebuah trak pikap; enjinnya menyalurkan sejumlah 177PS kuasa dan 380Nm tork, angka-angka yang lebih daripada mencukupi untuk menjadikan trak ini sebagai jentera kerahan kerja kasar, jika perlu.

Saluran kuasanya sangat lancar dan ‘lembut’, sama saja seperti memandu kenderaan biasa. Cuma, torknya memang mudah untuk dirasakan. Pada sesetengan keadaan, misalnya ketika terlupa tentang daya tork yang tinggi ini, dan menekan pedal dengan kuat pada keadaan enjin dalam rpm rendah, kuasanya dengan mudah dapat dirasakan dan tayar juga akan berpusing bebas tanpa cengkaman disebabkan sarat kuasanya.

Kawalan stereng bagi bagi sebuan kenderaan yang berkedudukan tinggi begini juga tidak menimbulkan sebarang masalah ketara. Ia bahkan lebih selesa rasanya ketuka melalui jalan lama dari Gopeng ke Parit, Perak yang berliku dan beralun. Kuasa yang ada padanya akan membuatkan pemandu tersenyum. Sebaliknya, kepada penumpang yang tidak gemar dilambung-lambung dalam laluan sebegitu.

Tiga varian ditawarkan bagi D-Max V-Cross ini, iaitu versi Manual, Automatik dan pakej lengkap V-Cross Safari 3.0L AT. Model yang dipandu untuk sesi berkenaan ialah model lengkap ini, yang diperkemas dengan warna khas dan pelbagai aksesori menarik sebagai nilai tambah kepada pelanggan yang mahukannya. – Hazril Hafiz.

Isuzu D-Max V-Cross Safari 3.0L-0006

Spesifikasi Isuzu D-Max V-Cross Safari 3.0L
Enjin: 2,999cc, 4 silinder sebaris, 16 injap, Turbo VGS dengan Intercooler
Kuasa maksimum: 177ps @ 3,600rpm
Tork maksimum: 380Nm @ 1,800-2,800rpm
Transmisi: Automatik 5-kelajuan dengan Sequential Shift
Ciri-ciri keselamatan: Dwi beg udara, ABS dengan EBD, Brake Assist, ESC dan lain-lain
Harga: Bermula RM98,508 hingga RM115,208 (V-Cross Safari, tanpa insurans)