.

Isuzu MU-X – Unjur lebih kemungkinan

POSTED BY Asyikin Md. Isa ON 14 July 2015

Isuzu MU-X sediakan ruang dan kemampuan lasak

Sejak Isuzu Corporation Japan menyertai pasaran kenderaan di Malaysia secara langsung melalui Isuzu Malaysia pada tahun 2005, syarikat itu hanya menumpukan penjualan satu model sahaja iaitu trak pikap D-Max.

Isuzu 01

Walaupun pada masa itu Isuzu sudah mempunyai SUV yang diasaskan daripada trak pikap yang sama, mereka tidak bercadang untuk menjualnya di Malaysia sehinggalah kedudukan syarikat berkenaan betul-betul stabil di Malaysia.

Kini selepas hampir 10 tahun, kedudukan Isuzu Malaysia semakin kukuh dan D-Max diterima baik pasaran termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pertaruh model kedua

Dengan itu, Isuzu Malaysia semakin yakin, seterusnya membawa kepada pengenalan sebuah SUV yang diasaskan daripada trak pikap D-Max iaitu MU-X. Walaupun keduanya berkongsi kerangka dan enjin sama, MU-X menggunakan banyak peralatan yang berbeza bagi menjadikan ia sesuai dengan sasaran kepenggunaannya.

Antara perkara penting yang perlu diketahui adalah suspensi MU-X menggunakan sistem ‘5-Link’ bersama gelung spring serta ‘stabilizer’, tidak seperti D-Max yang menggunakan spring dedaun.

Dengan ini, penyerap hentakan MU-X adalah lebih baik, dan penumpang yang berada di dalam kenderaan tidak akan terlalu melantun serta lebih selesa. Selain itu, jika dibawa menghadapi selekoh, walaupun masih terdapat olengan kerana asasnya adalah sebuah trak pikap, MU-X terasa lebih mencengkam dan stabil.

Isuzu 11

Lagipun, tambah baik, ia turut dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti sebuah kereta iaitu sistem kawalan cengkaman (TCS) dan pengawal stabiliti elektronik (ESC). Sistem ini, jika anda tidak memerlukannya di atas jalan kasar, boleh ditutup dengan hanya menekan satu butang sahaja.

SUV sebenar

Untuk menukar sistem pacuan daripada dua roda kepada empat roda pula, pemandu hanya perlu memutar tombol yang terdapat pada konsol tengah, dan ia boleh dilakukan semasa bergerak, sehingga 100km/j.

Jika dilihat dalam segmen trak pikap, enjin 2.5L pada D-Max yang digunakan pada MU-X ini bukanlah yang paling berkuasa, tetapi lebih dikenali kerana penggunaan bahan api yang menjimatkan.

Oleh itu, MU-X juga adalah sama. Walaupun begitu, pada pendapat penulis, enjin ini masih boleh dianggap bersesuaian untuk menggerakkan MU-X. Untuk mendapatkan pecutan yang diperlukan, pemandu harus pandai menyesuaikan tekanan pedal.

Selain itu, MU-X juga boleh dianggap sebagai sebuah kenderaan yang sarat dengan pelbagai ciri. Bagi pemiliknya sahaja, kenderaan ini menyediakan suasana premium dengan balutan tempat duduk kulit dan sistem hiburan yang boleh memaparkan apa yang terdapat pada telefon bimbit anda.

Isuzu 07

Keselesaan diambil kira

Bagi penumpang juga, aspek keselesaan tidak dikompromi, malah cukup memanjakan. Setiap barisan mempunyai corong pendingin hawa tersendiri dan mereka boleh menikmati hiburan yang boleh dipaparkan pada skrin di bumbung.

Semasa pertama kali mencubanya dengan memasang cakera padat filem perang, penulis terpaku dengan kualiti bunyi baik yang terhasil daripada pembesar suara Blaupunkt pada MU-X.

Sekiranya tidak diperlukan, tempat duduk belakang ini boleh dilipat sama ada untuk rata terus ataupun tegak secara individu mengikut kesesuaian pengguna.

 

Spesifikasi Isuzu MU-X 2.5L (4X4)

Enjin: 2,499cc, empat silinder sebaris, VGS Turbo Intercooler Diesel DOHC 16V

Transmisi: Automatik lima kelajuan dengan Sequential Shift

Kuasa maksimum: 136hp @ 3,400rpm

Tork maksimum: 320Nm @ 1,800 – 2,800rpm

Ciri keselamatan: Beg udara hadapan SRS, ABS, EBD, BA, ESC, TCS, ISOFIX, empat pengesan undur

Harga: RM160, 210.40 (tanpa insurans, termasuk GST)