.

Isuzu Dura-Mission 2015 jelajah Banjaran Crocker

POSTED BY Kaynis Chong ON 29 January 2015

Tiga hari merentasi bahagian pantai barat Sabah, laluan off-road tambah keseronokan

Kota Kinabalu dalam keadaan basah akibat cuaca hujan pada malam sebelumnya. Deretan kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max V-Cross 3.0L sudah bersedia untuk memulakan perjalanan bagi acara Isuzu Dura-Mission 2015 pada Khamis, 15 Januari lalu.

Acara yang direncanakan dua tahun sekali oleh Isuzu Malaysia kali ini melibatkan sejumlah 10 buah Isuzu D-Max yang dipandu oleh wakil media dan lapan buah kenderaan pengiring dan sokongan menjelajah bahagian pantai barat Sabah.

Dari Kota Kinabalu melalui pekan-pekan lain seperti Kota Belud, Kudat, Ranau, Kundasang dan Tuaran di dalam perjalan tiga hari itu – di atas jalan berturap dan juga yang lebih menarik, laluan off-road yang membawa konvoi ke lokasi-lokasi yang jarang-jarang dilalui oleh kenderaan biasa.

Isuzu Dura-Mission 2015-000111Hujan lebat, laluan lecak

Perjalanan peringkat awal pada hari pertama itu dari pusat kota menuju Pantai Teringai, Matunggong, Kota Marudu saja sudah begitu mencabar. Hujan tanpa henti mengiringi perjalan, kadang-kadang gerimis dan pada waktu lainnya sangat lebat.

Dan, sebahagian besar laluan di sebelah pagi sebelum berhenti makan tengah hari di pantai berkenaan melibatkan laluan off-road. Di dalam cuaca seperti itu, kemampuan untuk mengendalikan kenderaan pacuan empat roda seperti Isuzu D-Max dianjak ke tahap yang lain.

Bagi sesetengah orang, ia mungkin perjalanan yang dirasakan sangat panjang; jarak dari satu lokasi ke lokasi lain sebenarnya tidaklah begitu jauh, tetapi dalam keadaan cuaca dan laluan yang berlecak begitu ia memakan masa yang lebih lama. Kepada yang memandu, pengalaman yang jarang-jarang didapati begini sangat berharga.

Ditambah pula pada beberapa kawasan di mana kenderaan yang dipandu tersangkut, ada sebahagiannya perlu diberi pertolongan untuk ditarik keluar, menambah rencah kepada perjalanan berkenaan.

Konvoi sedikit terlewat tiba di sebuah warung untuk makan tengah hari di Pantai Teringai. Hidangan panas yang ringkas dengan pelbagai pilihan lauk-pauk terasa begitu menyelerakan di dalam keadaan hujan lebat dan setelah bersusah payah memandu di dalam belukar yang memenatkan.

Isuzu Dura-Mission 2015-0014

Rumah panjang kaum Rungus

Tidak hanya menghabiskan masa di laluan hutan semata-mata, Isuzu Dura-Mission 2015 turut membawa konvoi mengunjungi sebuah rumah panjang tradisional suku kaum Rungus; antara rumah terakhir suku berkenaan yang hanya terdapat di daerah Kudat.

Destinasi akhir hari pertama adalah di Simpang Mengayau, Kudat yang terkenal sebagai titik paling hujung Borneo (Tip of Borneo), juga tempat pertembungan antara Laut China Selatan dan Laut Sulu. Matahari hampir terbenam ketika tiba di sana, kemudian menikmati makan malam barbeku dan berehat di chalet yang sunyi sebelum menyambung perjalanan pada hari kedua.

Isuzu Dura-Mission 2015-0019Keindahan tanah tinggi dan Banjaran Crocker

Seawal lapan pagi keesokannya, perjalanan dimulakan. Laluan hari kedua lebih mencabar; sebelum tengah hari perlu sampai ke Kandukut, sebuah kawasan tanah tinggi yang begitu memukau keindahannya.

Tetapi, sebelum sampai di situ, konvoi terpaksa melalui laluan off-road sekali lagi. Walaupun cuaca agak menyebelahi peserta dengan cuaca cerah dan kering, terdapat satu bahagian laluan di mana peserta perlu turun untuk ‘membuat’ jalan baru dan mencangkul; cerun ‘V’ yang cetek dan curam yang turut memerlukan kenderaan di ‘winch’ keluar untuk menyeberang ke sebelah yang satu lagi.

Di sini cabaran yang paling banyak mengambil masa untuk dilepasi satu per satu. Tetapi, yang menanti selepas itu adalah saujana mata memandang dengan keindahan alam gunung-ganang yang terlalu cantik untuk diungkapkan dengan kata-kata. Di bahagian puncak tempat konvoi berhenti menikmati makan tengah hari ringkas dengan lauk ayam goreng, tak banyak pokok-pokok tinggi yang tumbuh. Hanya rumput lalang dan tumbuhan renek yang menghampar di kawasan itu.

Semua permukaan sempat dirasai setakat dua hari itu; laluan berlumpur yang dalam, tebing batu, menyeberang sungai yang arusnya agak deras kerana hujan, laluan batu kerikil anak sungai, jalan berturap serta dakian di kawasan tanah tinggi. Kitaran lengkap untuk meletakkan Isuzu D-Max V-Cross 3.0L di dalam ujian ketangkasan dan ketahanan yang berjaya di harungi tanpa banyak masalah.

Sebelah petang, konvoi kembali ke jalan berturap menuju Kundasang, untuk bermalam pula di Mesilau Nature Resort; bermandi hujan dan mengirup udara nipis dan suasana sejuk di sebahagian daripada kawasan Banjaran Crocker yang menjadi antara tulang belakang kawasan tanah tinggi Sabah.

Isuzu Dura-Mission 2015-0021

Taklimat sebelum menaiki helikopter untuk tinjauan dari udara, antaranya pekan Kundasang. Setiap penerbangan hanya boleh membawa muatan 400 kilogram secara keseluruhan.

Tinjauan dari udara

Hari ketiga lebih santai dengan aktiviti-aktiviti riadah dan menyeronokkan. Bangun seawal 5.45 pagi untuk meninjau pekan Kundasang dan banjaran Crocker dengan helikopter, kemudian meneruskan perjalanan ke Tuaran melalui Tamparuli untuk ke Sungai Kiulu bagi aktiviti ‘white water rafting’.

Pemanduan terakhir konvoi ialah dari Kiulu menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada sebelah petangnya, yang juga menjadi penamat kepada jelajah Isuzu Dura-Mission 2015 bagi semua peserta.

Isuzu Dura-Mission 2015-0002

Daisuke Ishida.

Eratkan hubungan, tunjuk kemampuan D-Max

Berbual bersama Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Daisuke Ishida, beliau merasakan acara Isuzu Dura-Mission ini sangat penting dari sudut pengukuhan jenama Isuzu itu sendiri di atas beberapa sebab.

“Pertama sekali, aktiviti seperti ini memberikan peluang kepada peserta, yang rata-ratanya wakil media tempatan, untuk merasakan sendiri apa yang mampu di tawarkan oleh Isuzu D-Max. Laluan dan suasana mencabar yang terhampar sepanjang perjalanan tiga hari ini akan benar-benar menguji keupyaan kenderaan kami ini. Sebagai pemandu juga, anda boleh menguji kemampuan sendiri di laluan sukar yang dilalui,” jelas Ishida.

Untuk makluman, 10 trak pikap Isuzu D-Max yang dipandu di dalam siri jelajah ini ialah trak pikap yang standard. Ia hanya melibatkan penggunaan tayar ‘All-Terrain’ (AT) dan ketinggian badan trak yang dinaikkan kira-kira setengah inci. Selebihnya, tiada apa-apa pertukaran atau penambahbaikan lain yang dilakukan.

Menurut Ishida lagi, acara seperti ini turut memberi peluang kepada kakitangan Isuzu Malaysia untuk mengeratkan perhubungan bersama petugas media. “Ia seperti satu perhimpunan santai yang menarik bagi semua pihak,” tambah Ishida. Sepanjang tiga hari perjalanan ini, setiap Isuzu D-Max dinaiki oleh dua wakil media dan seorang wakil Isuzu Malaysia akan bersilih ganti menyertai wakil media untuk tujuan itu.

Setiap cabaran, aktiviti outdoor yang disediakan adalah mencerminkan semangat yang dibawa oleh jenama Isuzu serta gaya hidup yang ingin dibawa oleh jentera seperti Isuzu D-Max.

Isuzu Dura-Mission 2015-0001

Mohd Fairuz Kamaluddin, ketua ekspedisi.

Ketua ekspedisi, yang juga bertugas sebagai Eksekutif Kanan, Perancangan Produk Isuzu Malaysia, Mohd Fairuz Kamaluddin menjelaskan bahawa setiap permukaan laluan yang dipilih bertujuan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang berbeza-beza dan menyeluruh bersama Isuzu D-Max.

Isuzu Malaysia merupakan satu-satunya jenama kenderaan di Malaysia yang hanay mempunyai satu model yang ditawarkan sebagai kenderaan penumpang di sini. Bagaimanapun, tahun ini yang merupakan ulang tahun ke-10 Isuzu Malaysia, syarikat berkenaan akan memperkenalkan sebuah lagi model baru, SUV Isuzu MU-X yang dijangka akan memasuki pasaran Malaysia pada separuh kedua 2015. – Hazril Hafiz