.

Isuzu D-Max V-Cross Safari – Pikap moden lengkap

POSTED BY Gary Tay ON 14 September 2014

Semakin zaman berubah, permintaan pengguna juga semakin berubah dan pelbagai. Jika dulu trak pikap sekadar diperlukan untuk kemampuannya mengangkat barang, kini pengguna mahukan lebih.

Mereka ingin ia datang dengan pelbagai kelengkapan dari segenap aspek seterusnya memberikan cabaran kepada pengeluar kenderaan tersebut.

Bagi pengeluar kenderaan terkenal Jepun, Isuzu, ini dianggap sebagai satu cabaran yang perlu disahut bagi membuktikan kemampuannya. Generasi baharu D-Max diperkenalkan pertengahan tahun lalu dengan varian 2.5 liter tetapi bagi pengguna yang tidak puas, tahun ini Isuzu memperkenalkan varian paling lengkap D-Max; V-Cross 3.0 Safari.

Isuzu-D-Max-Safari-4

Gagah dan maskulin, ditambah dengan penampilan garang dengan kit Safari.

Enjin besar, pakej lebih menarik

Selain enjin berkapasiti lebih besar, varian ini mempunyai kelengkapan lebih mewah dan bergaya termasuk tempat duduk kulit Itali, penutup kargo yang boleh dikunci, penghadang angin, rim eksklusif 17 inci, jeriji hadapan dan penghadang bampar berwarna ‘matte’, rel bumbung, pemijak kaki dan sistem navigasi GPS.

Ia tiba pada tangan penulis sehari sebelum cuti panjang sempena Hari Merdeka yang lalu. Disebabkan tiada perancangan untuk berjalan jauh, penulis sekadar menggunakannya di dalam bandar.

Pengendaliannya mudah. Biasanya trak pikap seperti ini agak sukar membuat pusingan U kerana putaran roda yang terhad tetapi D-Max ini tidak. Lagipun, untuk membuat putaran, stereng kuasanya tidak memerlukan daya yang berlebihan.

Dalam pemanduan biasa, selain kedudukannya yang tinggi, D-Max Safari ini tidak terasa seperti sebuah trak pikap. Pemasukan gearnya adalah lancar dan tidak tersentak sekiranya pedal minyak ditekan secara berpada-pada dan tidak terlalu kasar.

Suasananya pula terasa seperti sebuah kenderaan yang lengkap- tidak hanya direka dan dihasilkan untuk ketahan malah turut memberi perhatian kepada aspek kualiti dan rekaan moden.

Isuzu-D-Max-Safari-5Keselesaan penumpang jadi keutamaan

Bagi penumpang di belakang, keadaannya adalah selesa kerana tempat duduk tidak terlalu tegak dan ruang yang disediakan cukup sehingga dapat bersila pangku. Jika masih tidak cukup, turunkan pula perehat tangan di bahagian tengah.

Bagai sengaja hendak diuji, semasa tiba di tapak sesi foto, tayar hadapan kenderaan ini sangkut di dalam pasir lembut tepi tasik. Semasa mula tenggelam, hati penulis terus bergetar dan kelam-kabut turun. Selepas diperhatikan, dua tayar hadapan sudah tenggelam hampir ke bahagian tengah rim sementara tayar belakang pula separuh daripada tayar.

Nasib baik, dengan menukar kepada pacuan empat roda rendah (4L), kenderaan dapat dikeluarkan dengan mudah. Penulis hanya menekan pedal minyak secara perlahan-lahan dan tidak tergopoh-gapah kerana takut ia terus tenggelam pula di dalam tasik tersebut.

Selepas menggunakannya selama dua hari dan mencatat hampir 150km, penulis dapati meter minyak masih tidak mencatat sebarang penurunan. Terus, perancangan penulis berubah dan memutuskan untuk ke Terengganu.

Isuzu-D-Max-Safari-26Semasa di atas lebuh raya, D-Max V-Cross Safari 3.0 terasa stabil walaupun kedudukannya tinggi. Ini terjadi kerana D-Max mempunyai jarak roda yang panjang dan lebar sementara suspensinya pula dapat menyerap hentakan dengan baik dan tidak terhentak-hentak.

Untuk perjalanan ulang-alik Kuala Lumpur – Dungun, penulis sudah menjangkakan tangki penuh 76 liternya tidak akan mencukupi. Tetapi ia masih lagi mengejutkan kerana mampu mencapai hampir 800km dengan bacaan penggunaan bahan api sekitar 9.1l/100km. Itupun penulis memandunya dengan tidak memberikan tumpuan kepada penjimatan minyak. – Durrani Sharom

 

Spesifikasi Isuzu D-Max V-Cross 3.0 Safari

Enjin: 2,999cc, empat silinder sebaris, VGS Turbo Intercooler Diesel, DOHC, 16V

Transmisi: Automatik lima kelajuan dengan Sequential Shift

Kuasa maksimum: 175hp @ 3,600rpm

Tork maksimum: 380Nm @ 1,800 – 2,800rpm

Ciri keselamatan: Beg udara SRS pemandu dan penumpang hadapan, ABS, EBD, ESC, TCS, pengesan undur

Harga: RM115,208.40 (tanpa insurans)