.

Halangan ke Imbak Canyon

POSTED BY Kaynis Chong ON 07 November 2014

Akibat bah, peserta Borneo Safari 2014 terkandas

Borneo Safari - 19

Dengan Imbak Canyon sebagai destinasi utama, Borneo Safari 2014 yang memasuki tahun ke-24 tentunya menawarkan cabaran yang luar biasa. Imbak Canyon merupakan kawasan hutan simpan kelas pertama yang terkenal dengan kepelbagaian bio serta flora dan fauna. Untuk memeliharanya, Yayasan Sabah hanya membenarkan pelawat dengan tujuan penyelidikan, pendidikan, latihan untuk memasukinya.

Di sinilah kelebihan cabaran Borneo Safari, yang mendapat pengiktirafan badan antarabangsa sekaligus diberi kebenaran Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Datuk Masidi Manjun untuk meneroka Imbak Canyon tahun ini.

Setibanya di Sabah dari lapangan terbang, peserta media terus dikejarkan ke sebuah dewan orang ramai untuk sesi pra-taklimat daripada Ketua Ekspedisi, Anthony Wong.

Konvoi kali ini disertai oleh 300 kenderaan semuanya, yang turut disertai oleh konvoi Isuzu yang bertindak selaku penaja utama acara, yang antara lainnya terdiri daripada jentera D-Max 2.5 liter Isuzu D-Max (Monster) dan 3.0 liter D-Max V-Cross (Monster 2) untuk kegunaan peserta media yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Cabaran utama: cuaca buruk

Pengembaraan pada hari pertama bermula dengan perjalanan sejauh tujuh jam dan usaha keras dari peserta konvoi untuk tiba di lokasi perkhemahan Rokot berhampiran Tengkurus. Namun kerana cuaca buruk dan laluan banjir, konvoi tidak dapat sampai ke lokasi perkhemahan yang ditetapkan dan perlu mendirikan tapak perkhemahan sendiri. Hal yang sama turut berlaku pada hari kedua cabaran di mana konvoi tidak sempat tiba di lokasi tapak perkhemahan di kawasan air terjun Tawai.

Borneo Safari - 05

Jauh ketinggalan dari jadual yang ditetapkan, konvoi terpaksa bekerja keras pada hari ketiga untuk tiba ke kawasan air terjun Tawai dan Imbak Canyon. Tetapi nasib kurang menyebelahi konvoi kerana laluan lebih berliku dan berlaku sedikit kemalangan yang tidak dapat dielakkan.

Hampir 30 minit perjalanan, kenderaan konvoi terpaksa berhenti dan bersedia dengan ‘winch’ untuk menghadapi rintangan yang pertama untuk mengeluarkan D-Max yang tersekat dalam lumpur.

Tidak sampai 500 meter jarak dari halangan pertama, sekali lagi konvoi diuji dengan rintangan kedua yang tidak jauh bezanya dengan situasi rintangan pertama.

Akhir, konvoi berjaya tiba di air terjun Tawai dan menjalankan khidmat komuniti dengan mendermakan beberapa tong sampah dan papan tanda sebagai persediaan untuk pembukaan air terjun Tawai kepada umum. Air terjun Tawai Telupid merupakan antara potensi besar untuk dijadikan destinasi pelancongan buat mereka yang cintakan alam semula jadi.

Kandas dalam sungai

Pengembaraan diteruskan menuju ke tapak perkhemahan di Imbak Canyon. Oleh kerana hujan turun dengan lebat selepas selesai khidmat komuniti, arus sungai menjadi lebih deras daripada kebiasaan dan ketika percubaan untuk menyeberangi sungai, kenderaan yang dinaiki Ketua Pasukan Media, Hilary Francis dipukul arus dan memaksa beliau meninggalkan kenderaannya. Kejadian yang berlaku ini sekali gus melambatkan perjalanan konvoi.

Merupakan antara anggota paling lama yang menyertai konvoi Borneo Safari, Hilary Francis adalah orang penting dalam kelab Penampang 4×4 di Sabah. Beliau yang memandu kereta utama, akan menjadi antara yang pertama untuk menguji setiap halangan sebelum diikuti peserta konvoi lain.

Borneo Safari - 27

Kata sepakat diambil untuk tidak meneruskan perjalanan ke Imbak Canyon bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berikutan keadaan cuaca buruk dan kekangan masa. Namun, halangan demi halangan terus hadapi konvoi Borneo Safari ketika perjalanan pulang ke Kota Kinabalu dengan melalui Lahad Datu, Silam, Ranau dan Mamut antaranya perlu membina jambatan, ‘winching’ dan menggali.

Walaupun cabaran Borneo Safari ke-24 ini gagal tiba ke Imbak Canyon, namun secara keseluruhnya ia masih berjaya untuk menjadi sebuah acara yang menaikkan semangat persaudaraan dan kerjasama antara peserta. Keseronokan menempuhi cabaran dan laluan berliku dan off road adalah bonus, tetapi kejayaan utama adalah dengan mempererat persaudaraan dalam kalangan peserta dalam mangharungi setiap cabaran. -Adam Aubrey