.

Citroen C4 Picasso – MPV diesel keluarga

POSTED BY Gary Tay ON 08 November 2014

Melihat kepada reka bentuk luaran Citroen Grand C4 Picasso, seperti ada sebuah penyataan yang ingin disampaikan; sebuah MPV era ini tidak lagi boleh kelihatan membosankan.

Jangkaan pengguna semakin tinggi, dan untuk itu, walaupun bagi sebuah MPV, pakej keseluruhan amat penting. Tidak hanya keluasan yang menjadi ukuran.

Dan MPV buatan Perancis ini mempunyai kelebihan itu. Tidak hanya rekaan luar, bahagian dalaman juga menyerlahkan keselesaan dan ketelitian buatan yang tinggi. Tambah menarik, model yang dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan pada minggu lalu ini dilengkapi dengan enjin diesel 2.0 liter.

Di dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Kulim ketika memandu MPV ini tempoh hari, jarak perjalanan yang jauh seperti itu mampu mempamerkan beberapa sisi dan karektor yang ditawarkannya. Pertama sekali yang ingin disentuh ialah penggunaan bahan apinya yang dirasakan begitu cekap.

Dengan satu tangki penuh dengan kapasiti 55 liter, jarak yang sempat dilalui sepanjang tempoh satu hujung minggu memandu MPV ini ialah sekitar 830 kilometer. Dan ketika itu, jarak yang tertera pada paparan meter menunjukkan masih berbaki 105 kilometer. Ini tidak mengejutkan kerana di atas kertas, model ini didakwa mampu memberikan purata penggunaan bahan api 4.6 liter per 100 kilometer di dalam gabungan cara pemanduan.

Picasso-10

Pemanduan santai dan tenang

Pemandu memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri mengendalikannya dengan lancar. Kedudukan paparan meternya ditengah. Tombol gear yang tidak sama seperti kenderaan lain; tuil kecil dan panjang yang bertindak selaku pemilih kedudukan gearnya terletak di bahagian belakang stereng, disebelah kanan. Ini antara perkara yang perlu dibiasakan dahulu sebelum pemandu dapat menikmati perjalan.

Dari aspek prestasi, walaupun tidak dinafikan ia sebuah kenderaan yang agak ‘solid’ untuk dipandu, harus ditekankan bahawa Citroen Grand C4 Picasso ini ialah sebuah MPV, dan ia seharusnya dipandu sebagai sebuah MPV, dan bukannya sebagai sebuah kereta.

Dengan lima penumpang dewasa, dan kemampuan untuk mencapai kelajuan ideal 110kmj di lebuh raya dalam keadaan bersahaja tanpa terbeban menjadikan pengalaman pemanduan dan prestasinya tidak mengecewakan.

Sebagai sebuah MPV dengan tujuh tempat duduk (dua tempat duduk dibarisan ketiga mempunyai ruang kaki yang agak terhad), ia sudah memadai untuk menjadi pelengkap kenderaan ini yang pada kebanyakan waktu perlu memenuhi keperluan pengangkutan sesebuah keluarga.

Picasso-04

Rekaan lampu dan pintu bahagian belakang turut diberi perincian yang unik.

Ciri sokongan elektronik

Ada satu perkara yang pada awalnya tidak difahami; ketika memandu di dalam keadaan tertentu, pemandu akan merasakan semacam ada satu getaran atau tarikan ‘pre-tensioner’ pada tali pinggang keledar yang digunakan. Selepas beberapa kali terperasan tentang keadaan itu, barulah dapat dikenal pasti puncanya.

Ketika pemandu berkecenderungan menukar lorong tanpa memberi lampu isyarat, ciri khas berkenaan akan diaktifkan untuk mengingatkan pemandu. Di dalam model kenderaan lain misalnya, getaran berkenaan akan dapat dirasakan pada stereng. Ini adalah ciri keselamatan tambahan bertujuan untuk menyedarkan pemandu terhadap situasi pemanduan mereka dari semasa ke semasa. – Hazril Hafiz

 

Spesifikasi Citroen Grand C4 Picasso (diesel)

Enjin: 1,997cc, 4 silinder sebaris dengan suntikan terus turbo, diesel

Kuasa maksimum: 148hp @ 4,000rpm

tork maksimum: 370Nm @ 2,000 rpm

penghantaran: Automatik 6-kelajuan

Ciri-ciri keselamatan: ABS dengan EBD & EBA, TCS, DSC dan lain-lain.

laju maksimum: 207kmj

harga: RM189,888 (dengan insurans)

Datang BH Kereta: Sebuah MPV keluarga yang sangat menarik dan jimat bahan api.

 

setiap hari INFO LANJUT

maaf, tiada kiriman yang sepadan dengan kriteria anda.