.

Citroen DS3 RacingSemangat lumba sebenar

POSTED BY Kaynis Chong ON 16 November 2014

Citroen DS3 Racing 02

Citroen DS3 Racing dibangunkan dengan pengalaman Citroen dalam WRC

 

Sejak berada di bawah pengurusan Naza Euro Motors yang merupakan salah satu anak syarikat gergasi automotif Malaysia, Kumpulan Naza, jenama Citroen kini bagaikan semakin ‘hidup’ dengan penawaran pelbagai produk yang eksklusif.

Jika anda masuk ke dalam pusat pamerannya, kenderaan yang dipamer seperti barisan model DS dan Grand Picasso mengetengahkan gaya unik tersendiri dan kelengkapan yang ada menunjukkan kenderaan Citroen padat dengan ciri-ciri canggih.

Bagaimanapun, bagi yang mengikuti perkembangan dunia permotoran, mereka tahu, Citroen bergerak aktif dalam sukan rali terutamanya Kejuaraan Rali Dunia (WRC) serta beberapa perlumbaan lain, dan pengalaman yang ditimba ini pasti diterapkan dalam jentera tertentu.

Khas untuk menunjukkannya kepada penggemar automotif di Malaysia, Naza Euro Motors membawa masuk salah satu model yang dibangunkan bersama jurutera dari Citroen Racing iaitu DS3 Racing.

Segenap aspek prestasi kenderaan ini dinaik taraf, meletakkannya jauh daripada model DS3 biasa yang ditawarkan pada harga bermula RM114,700. dan, naik taraf yang diberikan tersebut menunjukkan Citroen betul-betul serius.

Nadi prestasi

Citroen DS3 Racing 10

‘Jantung’ DS3 Racing menggunakan unit 1,598cc yang disuntik dengan kuasa turbo dan dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan. Bagi yang gemar memandu, ini adalah sesuatu yang isitimewa kerana kenderaan ‘hatchback’ dua pintu ini boleh memecut dengan lebih mudah dan memberikan lebih keterujaan.

Padanan seperti ini sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati ‘pemandu sebenar’ kerana ia membolehkan kenderaan dikerah sepenuhnya dan perasaan menukar gear bagi memperlahankan kenderaan sebelum selekoh dan memasukkan kembali ke kedudukan tinggi apabila memecut tidak dapat ditandingi oleh kotak gear automatik mahupun yang mempunyai pedal penukar di tangan.

Bukan setakat unit kuasanya sahaja, Citroen turut menaik taraf suspensi DS3 Racing bagi memberikan lebih keyakinan dan kemampuan dalam pemanduan yang penuh semangat. Suspensinya telah ditala kembali, jarak rodanya 30mm lebih lebar dan kedudukannya pula 15mm lebih rendah berbanding DS3 biasa.

Turut dinaik taraf adalah brek yang kini menggunakan angkup empat piston di hadapan dan cakera yang lebih kuat dan tahan.

Kendalian tetap mudah

Citroen DS3 Racing 03

Walaupun dengan semua susun atur prestasi ini, apabila diperlukan untuk keadaan yang lebih tenang, DS3 Racing tidak akan membebankan pemandu mahupun individu lain yang berada di dalamnya. Klac masih lagi lembut, badan kompak dan suspensi yang tidak terlalu keras masih dapat memastikan keselesaan.

Namun dalam masa sama, pemandu akan sentiasa diingatkan bahawa kenderaan ini adalah kenderaan prestasi dengan kehadiran kemasan gentian karbon yang terdapat pada pintu, papan pemuka, stereng dan beberapa bahagian lain. Gentian karbon yang digunakan ini bukan sekadar pelekat atau bahan tiruan, malah adalah gentian karbon sebenar.

Penulis sendiri kagum semasa mula mengambil kereta ini kerana bukan sekadar di dalam, malah pada sekeliling bahagian luar kenderaan juga dilengkapi dengan gentian karbon sebenar. Ini sekaligus memberi gambaran bahawa DS3 Racing sememangnya membawa semangat lumba yang sebenar.

Citroen DS3 Racing dihasilkan dalam kuantiti yang terhad bagi pasaran dunia dan Naza Euro Motors tidak menjualnya secara rasmi kepada pasaran, namun anda masih boleh hadir ke bilik pameran Citroen untuk menyatakan hasrat sekiranya benar-benar berminat.

Jika mempunyai kemampuan kewangan, penulis boleh menyatakan bahawa kenderaan ini sememangnya berbaloi untuk dimiliki; sama ada untuk memuaskan keinginan memandu mahupun sebagai koleksi.– Durrani Sharom

 

SPESIFIKASI

Citroen DS3 Racing

Enjin: 1,598cc, THP 200, empat silinder, pengecas turbo, 16 injap

penghantaran: Mnaual enam kelajuan

Kuasa maksimum: 202hp @ 6,000rpm

tork maksimum: 275Nm @ 2,000 - 4,500rpm

Ciri keselamatan: ABS,EBD, BA, enam beg udara, ESP

Pecutan 0-100km/j: 6.5 masa

harga: *Belum dijual secara rasmi

 

 

setiap hari INFO LANJUT

maaf, tiada kiriman yang sepadan dengan kriteria anda.