.

BHPetrol – SynGard 8000 dan Syngard 6000 terbaru

POSTED BY Kaynis Chong ON 27 February 2015

Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) pada Khamis melancarkan dua pelincir enjin terbaru; SynGard 8000 (sintetik penuh) dan SynGard 6000 (semi sintetik), untuk penggunaan kenderaan penumpang.

Harga runcit bagi SynGard 8000 and SynGard 6000 ialah masing-masing RM198 dan RM125, dan ditawarkan di dalam pack empat-liter.

Diperbuat menggunakan teknologi adunan aditif yang mampu memberikan lima kali penambahan perlindungan terhadap penghakisan komponen enjin, SynGard 8000 memberi prestasi yang melebihi standard SN Institut Petroleum Amerika (API).

Minyak pelincir SynGard 8000 mempunyai kemampuan untuk mengalir dengan lancar dan mampu membina lapisan pelindung minyak untuk pergerakan bahagian enjin bagi mengurangkan geseran antara logam dan hasilnya, memperpanjang hayat engin.

Menurut pengeluarnya, pemandu boleh merasai perbezaan prestasi kenderaannya yang beroperasi pada suhu enjin tinggi, mengikut kesesuaian minyak enjin yang digunakan dan mampu untuk bertahan dalam situasi pemanduan yang lasak.

BHPetrol SynGard 2015-0002

Soh dengan produk minyak pelincir SynGard 8000 dan SynGard 6000.

Promosi dan jelajah minyak pelincir berkenaan akan diadakan pada 15 Mac 2015 diseluruh Semenanjung.

“BHPetrol menjangkakan keuntungan bagi semua jualan pelincir meningkat melebihi 100 peratus, yang turut dibantu oleh pengenalan pelincir SynGard terbaru ini,” ujar Timbalan Pengurus Besar Pelincir BHPetrol, Soh Lip Peng.

“Kami perlu bersaing dalam platform pasaran sasaran yang betul, memandangkan pelincir kami mesra-alam dan menyumbang kepada penjimatan bahan api,” tambah Soh.

Kesan GST

Ditanya mengenai adakah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan memberi impak terhadap harga minyak pelincir, beliau menjelaskan; “GST tidak akan memberikan impak terhadap perniagaan minyak mentah, tetapi, kita akan memastikan harga yang dikenakan kepada pengguna akan mencerminkan harga yang berdaya-saing mengikut harga pasaran semasa.”

Semua produk minyak pelincir BHPetrol juga adalah bersesuaian dengan penggunaan kenderaan komersial dan sektor industri seperti bengkel, pengusaha kuari, pengendali kenderan pukal (fleet), pengusaha balak, kenderaan operasi peladang, industri perlombongan, bas dan trak serta peruncit langsung. – Ayisy Yusof.