.

Axia untuk Malaysia

POSTED BY Kaynis Chong ON 18 September 2014

Jadi simbol untuk jadikan Malaysia hub EEV Asia

 Perodua Axia - 05

Perodua Axia yang dilancarkan Isnin lalu menjadi kenderaan EEV pertama yang dibangunkan oleh kepakaran kejuruteraan dan penggayaan oleh warga Malaysia, disasar untuk menawarkan sebuah produk mampu milik dan menjimatkan selari dengan Dasar Automotif Nasional 2014.

Ditawarkan pada harga diantara RM24,600 hingga RM42,530, Axia ditawarkan di dalam enam varian keseluruhannya, dengan perbezaan kelengkapan dan spesifikasi. Enam varian berkenaan terdiri daripada Standard E (Manual sahaja), Standard G (Manual & Auto) dan SE (Manual & Auto) dan Advance (Auto sahaja).

Axia merupakan model kesepuluh keluaran syarikat Perodua yang mula beroperasi pada 1993, dengan nama berkenaan membawa maksud tersendiri bagi Perodua. Mengambil kata asal Asia, ‘X’ yang ditempatkan di dalam nama berkenaan membawa makna angka 10 di dalam sistem numerikal Roman. Manakala ‘Asia’ itu sendiri menjadi simbol kepada sasaran Malaysia untuk menjadi hub pengeluaran kenderaan EEV rantau ini menjelang 2020.

Axia juga merupakan sebuah model yang dihasilkan oleh warga Malaysia, untuk pengguna Malaysia. “Kami mengambil kira pelbagai maklum balas dan keperluan pengguna di sini untuk diterapkan ke dalam Axia,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh. Selain penjimatan, Axia turut menyediakan ciri keselamatan lain terutama untuk wanita, seperti cangkuk khas di bahagian tengah antara tempat duduk, untuk beg tangan wanita.

Menerima tempahan sebanyak 13,500 setakat pelancarannya, Perodua mensasarkan jualan mencecah 30,000 untuk tahun ini, dengan tempoh menunggu bagi pembeli untuk menerima kenderaan mereka sekitar satu setengah bulan hingga dua bulan. Perodua Axia dipasang dikilang baru dengan kelengkapan canggih, Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB) dan pembangunan model terbaru ini juga turut menerima sokongan dan panduan daripada Daihatsu Motor Company of Japan (DMC).

Sebagai sebuah kereta yang menerima kelayakan dan manfaat sebagai EEV di bawah Dasar Automotif Nasional, Axia mempunyai berat kering antara 820 kilogram hingga 850 kilogram (bergantung kepada varian), dan mampu memberikan bacaan penggunaan petrol pada kadar 21.6 kilometer per liter bagi versi manual.

Dengan pelancaran Axia ini juga, Perodua mengumumkan akan menawarkan jaminan lima tahun tidak hanya bagi Axia, tetapi bagi model sedia ada Myvi dan Alza yang didaftarkan selepas pelancaran Axia. “Kami yakin dengan kualiti buatan kenderaan keluaran Perodua. Untuk itu, jaminan lima tahun yang diperkenalkan ini turut dipanjangkan kepada dua lagi model semasa yang ada,” tambah Aminar.

Perodua Axia dijana oleh enjin 1.0 liter 1KR-DE2 yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 49kW pada 6,000rpm dan tork 90Nm pada 3,600rpm. Kapasiti ruang barangan belakangnya adalah 260 liter.

 

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.