.

Aprilia berlumba dalam MotoGP

POSTED BY Asyikin Md. Isa ON 28 February 2015

Lebih banyak fokus dalam perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan beberapa perlumbaan lain sebelum ini, Aprilia mengambil langkah baharu untuk tahun 2015 dengan meletakkan pasukannya dalam saingan MotoGP. Walaupun sebelum ini dinyatakan hanya akan menyertai perlumbaan berprestij tersebut pada tahun 2016, Aprilia mempercepatkan langkah dengan harapan dapat menjadi lebih kompetitif.

Pasukan yang dibentuk juga bukan calang-calang, dengan pengurusan jentera dijaga oleh Gresini Racing manakala pelumba yang digunakan adalah Alvaro Bautista dan Marco Melandri.

Ditemui ketika sesi ujian di Litar Sepang beberapa hari lalu, Alvaro Bautista yang cukup berpengalaman dalam perlumbaan MotoGP namun menggunakan jentera berlainan menyatakan masih banyak yang perlu dilakukan untuk membangunkan jentera MotoGP Aprilia ini.

IMG_0198

“Semasa pusingan ujian pertama, terdapat beberapa masalah elektronik namun beberapa penyelesaian sudah ditemui dan kami masih bereksperimen dengan tetapan ini. Tetapi secara kasarnya saya gembira dengan bahagian elektronik”, tambah beliau.

Selain itu, pasukan Aprilia Racing Team Gresini juga sedang mengumpul data dan melakukan penyesuaian berkenaan casis, geometri serta tetapan suspensi bagi memastikan jentera dapat memberikan prestasi optimum dan bersesuaian dengan penunggang.

Walaupun mencatatkan masa memberangsangkan semasa sesi ujian, Bautista menyatakan beliau masih belum boleh fokus terhadap kedudukan dalam perlumbaan namun lebih memberi perhatian untuk membangunkan jentera.

Sementara itu, Ketua Pasukan Aprilia Racing, Romano Albesiano pula memberitahu, keputusan membawa Marco Melandri yang cukup cemerlang dalam perlumbaan WSBK ke dalam MotoGP adalah kerana percaya beliau adalah seorang pelumba berpengalaman yang bagus dan dapat memberi banyak input dalam membangunkan jentera MotoGP Aprilia.

Pusingan pertama MotoGP akan berlangsung di Qatar pada 29 Mac ini dan Aprilia Racing Team Gresini berharap dapat memberikan prestasi yang baik.