. <

Vespa LT150 3V ie – Serlah keseronokan tunggangan

POSTED BY Hazril Hafiz ON 29 January 2015

Enjin baru menggunakan suntikan bahan api lebih cekap dan berkuasa

Siapa yang tidak kenal dengan jenama Vespa. Ia sudah wujud mungkin sejak zaman muda dua generasi terawal kita dan telah mencapai satu tahap yang boleh digelar ikon legenda kerana pernah mencetuskan satu fenomena yang memuncak terutamanya pada tahun 70an.

Sekarang, motosikal jenama Itali ini masih kekal dalam pasaran bagi menyambung legasinya dan paling baharu diperkenalkan di Malaysia adalah varian LT150 3V ie. Jika diletakkan setara dengan beberapa varian lain seperti Primavera dan LXV, LT150 boleh dikatakan sebagai yang paling asas dan ditawarkan sebagai pengganti bagi model LX150.

Satu perkara yang pasti, LT150 3V IE masih lagi membawa ciri rekaan yang warisan, di mana walau dipandang sekilas sekalipun, anda boleh mengenal pasti ia adalah sebuah Vespa. Perkara ini adalah sesuatu yang sukar dibawa oleh model-model motosikal lain kerana rekaannya ibarat tidak tenggelam dek zaman meskipun masih diberi suntikan kemodenan.

Vespa LT 150 3V ie-0019

Rekabentuknya kekal mirip model klasik dan ikonik Vespa terdahulu.

Setiap kali terpandang model ini di atas jalan raya, yang mana boleh dilihat semakin bertambah hasil daripada aktiviti promosi yang dilakukan oleh pengedar rasminya di Malaysia, Naza Premira Sdn Bhd, penulis pasti akan tersenyum kerana ia bagai menjadikan jalan raya lebih meriah dan penuh gaya terutamanya dengan warna-warna terang pada badannya.

Itu adalah satu aspek Vespa yang mudah menarik perhatian golongan mana sekali pun. Tetapi sebenarnya bagi penulis, apa yang lebih menarik adalah penggunaannya yang serba mudah bagi pemilik. Bagi menghidupkannya, penunggang hanya perlu menekan suis elektronik sambil menarik tuil brek tangan (setelah tongkat dinaikkan) dan sebaik pendikit dipulas, ia boleh terus memecut.

Dengan adanya sistem suntikan bahan api, Vespa LT150 3V ie dapat membawa penumpang di atas badan genitnya tanpa sebarang masalah, terutamanya di dalam bandar yang boleh dianggap sebagai ‘rumah’nya. Penggunaan bahan api juga dikatakan lebih jimat 30 peratus berbanding model karburator.

Dalam masa sama, anda masih boleh membawanya ke jalan yang lebih terbuka dengan rasa selamat kerana boleh mencecah kelajuan sehingga 110km/j seperti yang jelas boleh dilihat pada meternya. Bagi unit tunggang uji ini, itu adalah tahap tertinggi yang boleh dicapai dan selepas itu ia bagai disekat, seperti ingin mengelakkan penunggangnya disaman pula.

Vespa LT 150 3V ie-0024

Panel plastik hitam dibahagian dalam badan Vespa LT 150 3V ie ini yang membezakannya daripada model LX 150.

Merujuk kembali kepada penggunaan di dalam bandar, Vespa LT150 3V ie boleh dianggap sebagai antara motosikal paling lincah yang boleh didapati kerana badannya ringan, kecil dan anda boleh mengubah haluan dengan begitu mudah sekali. Pertama kali mengendalikannya, penulis merasakan kekok kerana ia begitu ringan sehingga ada kalanya seperti terhuyung-hayang tetapi setelah mengambil sedikit masa barulah boleh disesuaikan dan ternyata ia memberikan kelebihan, apatah lagi dalam keadaan trafik sesak dan anda perlu menyelinap.

Bagi yang sudah biasa menaiki kapcai, duduk di atas Vespa ini pasti terasa kelakar pada awalnya. Namun, ia sebenarnya agak selesa kerana bahagian kaki bebas diletakkan pada kedudukan yang dikehendaki tanpa gangguan di antara kedua belah, pemegang berada pada jarak yang padan dan tempat duduknya juga agak luas dan selesa; bagi penunggang dan juga penumpang.

Cuma adakalanya penulis agak risau pada kaki penumpang apabila melalui di antara dua kereta kerana kedudukannya agak ke hadapan dan terkeluar sedikit daripada badan motosikal. Bagaimanapun, ia tidak begitu menyukarkan selagi anda sentiasa beringat dan berhati-hati.

Vespa LT 150 3V ie-0015

Selain semua ciri ini, penulis juga yakin untuk mengambil selekoh di atas Vespa LT150 3V ie dan ini adalah sesuatu yang jarang didapati kerana biasanya apabila melihat saiz tayar yang kecil sahaja, penulis akan risau. Pada motosikal ini, suspensinya yang baik juga membantu. Lagipun, anda bukannya boleh ‘melayan’ selekoh terlalu beriya-iya dengan motosikal ini kerana ia terletak rendah dan akan ada bahagian yang akan terseret.

Untuk kuasa brek, sistem dram di belakang sememangnya sedikit kurang dan tidak akan dapat memberhentikan motosikal dengan cepat tetapi jika anda mahukan lebih cengkaman, ia boleh diguna serentak dengan brek hadapan yang menggunakan cakera.

Tiba di destinasi, Vespa LT150 3V ie boleh diletakkan dengan mudah, termasuk menggunakan tongkat tengah manakala helmet dan jaket pula boleh diletakkan terus di bawah tempat duduk. Tempat barangan di belakang seperti yang boleh anda lihat pada unit tunggang uji ini pula adalah salah satu aksesori tambahan daripada pelbagai aksesori lain yang ditawarkan Naza Premira. – Durrani Sharom

Spesifikasi Vespa LT150 3V ie

Enjin: 154.8cc, satu silinder, empat strok
Transmisi: Automatik CVT
Kuasa maksimum: 11.7hp @ 7,500rpm
Tork maksimum: 12Nm @ 5,000rpm
Suspensi hadapan: Lengan tunggal, spring dan penyerap hidraulik tunggal
Suspensi belakang: Penyerap hentak dengan pelarasan beban empat tahap
Brek hadapan: Cakera 200mm
Brek belakang: Dram 140mm
Berat: 114kg
Harga: RM9,888 (tanpa insurans)