. <

Potenza Adrenalin RE003 taruhan prestasi Bridgestone

POSTED BY admin ON 08 April 2015

Ujian di litar Holden, Brisbane bukti ketangkasan tayar baharu jenama Jepun

Dengan pelancaran rasminya untuk pasaran Malaysia pada Selasa (31 Mac 2015), Bridgestone mempertaruhkan segenap kepakaran dan pengalaman litarnya untuk memberikan yang terbaik melalui produk terbaharu, Potenza Adrenalin RE003.

Diposisikan sebagai tayar untuk memenuhi profil premium sport bersama-sama model Potenza S001 (spesifikasi paling tinggi tayar Bridgestone setakat ini), RE003 dibangunkan dengan perhatian untuk menjadikannya jauh lebih baik berbanding model terdahulunya, RE002.

1Ia menerapkan campuran bahan silika yang berbeza (Silica & Nano Pro-Tech), rekaan bunga baharu dengan empat elemen penambahbaikan (Gambar 4) yang membolehkan ia berfungsi dengan lebih berkesan serta profil baharu untuk pemanduan sporty yang tangkas.

Antara yang menyumbang kepada prestasi model terbaharu ini adalah reka bentuk profil permukaan tayar yang secara keseluruhannya lebih ‘bulat’, menjadikan sentuhan antara tayar dan permukaan jalan lebih luas dan kesannya, peningkatan pada tahap cengkaman.

Dalam maksud yang lebih mudah, gabungan rekabentuk, campuran bahan silika dan teknologi yang diaplikasikan untuk tayar ini memberikan kesimbangan yang lebih baik bagi pemanduan di dalam apa juga suasana dan keadaan permukaan jalan.

Bertempat di litar ujian Holden di pinggir kota Brisbane, Australia awal Mac lalu, BH Auto berpeluang menguji tayar ini di dalam tiga latihan sebenar untuk mengetahui prestasi nyata Potenza Adrenalin RE003, yang turut dibangingkan secara langsung dengan beberapa model tayar pesaing dalam pasaran.

150311-2797

Permukaan kering

Untuk memandu dua buah kereta yang sama, tetapi dilengkapi oleh dua set tayar yang berbeza, sememangnya memberi peluang kepada pemandu untuk merasakan terus perbezaan di antara keduanya.

Semua latihan yang disediakan adalah mengikuti format ini. Dalam sesi pertama, iaitu laluan permukaan kering, dua Subaru WRX yang dilengkapi dengan set tayar berbeza menjadi perantara untuk ujian berkenaan. Tayar yang dibandingkan adalah versi terdahulunya, RE002 dan sebuah lagi dilengkapi tayar baharu RE003.

Untuk rekod, sistem kestabilan elektronik pada WRX ini dimatikan sepenuhnya.

Perbezaan paling ketara antara keduanya adalah ketika melalui selekoh dalam kelajuan yang setara. RE003 membolehkan stereng dan kereta dirapatkan pada bucu selekoh dengan mudah, sedangkan RE002 sedikit lari dari garis pemanduan yang dihajati, dengan maklum balas stereng yang sedikit ‘liar’.

Di atas kertas, RE003 memiliki daya di selekaoh yang disebut sebagai Maximum Cornering Force dengan bacaan 8 peratus lebih tinggi berbanding RE002 terdahulu, dan ini sangat jelas dapat di rasakan ketika latihan berkenaan.

3
Permukaan basah

Di dalam permukaan jalan yang basah, tayar yang baik akan berfungsi untuk ‘memecahkan’ takungan air dan dalam masa sama mengekalkan cengkaman paling optimum pada permukaan jalan.

Dua buah Volkswagen Golf GTI disediakan untuk latihan ini, dan tayar pesaing yang digunakan, walaupun jenama dan modelnya dikikis daripada dinding sisi tayarnya untuk menjadikannya ‘anonymous’ oleh penganjur, tayar berkenaan dipercayai dari jenis Goodyear Directional 5.

Ketika dalam pemanduan dalam satu bulatan dengan kelajuan yang semakin meningkat, tayar pesaing berkenaan dirasakan lebih lekas ‘membuang’ dan lebih cepat tergelincir dan berkecenderungan untuk ‘oversteer’ pada roda belakang.

Situasi berkenaan sedikit berbeza bagi RE003, di mana dengan kawalan pedal minyak yang kemas, walaupun dalam kelajuan yang semakin meningkat, ia sedaya upaya mengekalkan kereta dalam kadar cengkaman yang meyakinkan. Memandu dalam pusingan seperti itu saja sukar untuk merasakannya membuang, sedikit lebih baik berbanding tayar pesaing yang digunakan.

Bagi perihal dan kemampuan membrek, RE003 disifatkan mampu memberikan 5 peratus prestasi yang lebih baik mengatasi RE002, bagi kedua-dua permukaan kering dan basah.

5Litar

Bagi laluan separuh litar, dengan beberapa hadangan yang perlu dielak, selekoh tajam, keperluan untuk brek kecemasan dan slalom, RE003 ini dibandingkan dengan satu lagi tayar pesaing yang diyakini Michelin Pilot Sport 3 (tiada jenama dan model yang kelihatan, hanya mengagak dari corak bunga tayar).

Sekali lagi sebuah Subaru WRX yang dipadankan dengan RE003 dirasakan seperti memberi rasa yakin yang sedikit lebih berbanding tayar pesaing berkenaan.

Bagi kelompok tayar sport premium seperti ini, sebetulnya perbezaan prestasi antara satu sama lain agak mirip dan sangat sukar untuk mana-mana tayar itu menonjol terlalu jauh berbanding pesaingnya.

Yang membezakan adalah keseimbangan yang diinginkan pada sesebuah tayar. Bagi RE003, ini adalah kelebihannya. Tayar yang boleh sahaja mengharungi permukaan jalan yang berbeza-beza, misalnya basah dan kering, tetapi masih memberikan kawalan sepenuhnya kepada pemandu untuk mengendali dengan yakin.

IMG_3002

Pasaran Malaysia

Untuk pasaran Malaysia, Potenza Adrenalin RE003 sudah mula dijual bermula 1 April. Ditawarkan dalam 20 saiz berbeza, dengan profil tayar antara siri 35 hingga 55 dengan saiz rim dari 15 inci hingga 18 inci. Harga pula dari RM200 hingga RM800. – Hazril Hafiz.

Diari INFO LANJUT

Sorry, no posts matched your criteria.