. <

Peugeot lebar perkhidmatan ke Klang

POSTED BY Hazril Hafiz ON 11 June 2015

Peruntuk belanja RM1 juta untuk kepuasan pelanggan di sekitar kawasan

Pengedar kenderaan rasmi Peugeot di Malaysia, Nasim Sdn Bhd minggu ini membuka cawangan pusat servis terbaharunya di Klang.

Pusat 2S (servis dan alat ganti) berkenaan disasar untuk menampung keperluan pengguna dari kawasan sekitar seperti Pulau Ketam, Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Teluk Panglima Garang dan Kapar, juga pengguna-penguna lain sekitar Lembah Klang dan Petaling Jaya sekali gus.

“Dengan pembukaan pusat servis Peugeot Klang ini, kami kini mempunyai 155 ruang servis seluruh negara dengan kapasiti servis 15,000 kenderaan setiap bulan. Langkah ini adalah sebahagian daripada rancangan perluasan rangkaian Peugeot untuk mempertingkat faktor kepuasan pelanggan dan memperpendek tempoh servis kenderaan untuk pelanggan,” ujar Ketua Pagawai Operasi Nasim Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George.

Pusat servis berkenaan menelan belanja RM1 juta dan dibangunkan di atas tapak dengan keluasan 10,500 kaki persegi. Antara lain ia menempatkan tujuh ruang servis dengan kapasiti servis 20 kenderaan sehari, dan dimiliki serta diselenggara oleh UDH Venture Sdn Bhd.

Selepas pusat servis Peugeot Klang ini, Nasim dijangka akan membuka dua lagi cawangan tahun ini. Buat masa ini, Peugeot memiliki keseluruhan 43 cawangan seluruh negara sejak melaksanakan pelan perluasan rangkaian empat tahun lalu. Daripada jumlah berkenaan, 18 cawangan terletak di Lembah Klang.

Sempena pelancaran ini, pelanggan turut berpeluang menikmati promosi istimewa yang berlangsung dari 10 Jun hingga 15 Julai; setiap pelanggan yang menghantar kereta untuk diservis di pusat servis Peugeot Klang ini akan menerima sehelai kemeja-T asli. Seorang pelanggan bertuah juga bakal membawa pulang sebuah iPad Mini. Pelanggan hanya perlu menjawab tiga soalan mudah ketika menghantar atau mengambil kenderaan mereka.