. <

Perbandingan – Hyundai Sonata 2.0 Executive & Volkswagen Passat 1.8 TSI

POSTED BY Durrani Sharom ON 04 June 2015

Balik kampung gaya eksekutif. Selain pilihan popular SUV dan MPV untuk balik kampung, bagaimana prestasi sedan segmen D menggalas tanggungjawab yang sama?

Fikirkan percutian keluarga dan imej yang selalu terpampang adalah kenderaan pelbagai guna (MPV), ataupun jika mengikut gaya terkini, Crossover. Walaubagaimanapun, kali ini kami ingin memberikan perhatian kepada dua sedan eksekutif, berbanding MPV dan Crossover untuk tugasan balik kampung ke luar bandar.

Jangan salah faham, masih terdapat banyak MPV dan Crossover yang menarik serta berkemampuan di dalam pasaran tetapi kami ingin mengubah suasana sedikit untuk saranan percutian tahun ini.

Ujian perbandingan yang anda lihat ini adalah bagi eksekutif yang mahu membawa kenderaan kerja mereka untuk balik kampung berbanding kenderaan keluarga, untuk menguji kemampuan sama ada ia boleh mengendalikan barangan serta penumpang sebaik seperti apabila digunakan sebagai pengangkutan harian.

Persamaan di antara kedua kereta ini tidak lebih daripada berada di dalam satu segmen iaitu D. Sepanjang bersama kenderaan ini, kami mendapati kedua-dua Hyundai Sonata dan Volkswagen Passat disediakan untuk pemandu yang jelas berbeza.

DSC_1192Hyundai Sonata 2.0 Executive

Sonata yang baru sahaja dilancarkan ini mempunyai kelebihan umur, jadi penampilannya lebih segar dan moden berbanding Passat tetapi, ini adalah sesuatu yang susah dihargai apabila berada di dalam kenderaan selama berjam-jam apabila trafik sesak sementara anak-anak yang duduk di belakang pula semakin tidak boleh duduk diam.

Paparan meter ringkas Sonata mencapai sesuatu yang sukar didapati pada kenderaan yang pernah kami uji sebelum ini, iaitu memberikan paparan yang ringkas dan jelas sambil mengekalkan rasa eksekutif premium yang mencukupi. Dan juga, ini pasti adalah satu rahmat bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil, di mana papan pemuka yang rata membuatkan ia mudah dibersihkan.

DSC_1170Tempat duduk Sonata sedikit pejal tetapi tidak sehingga menyebabkan ketidakselesaan. Ia bukan jenis yang mampu membuatkan anda ‘tenggelam’ tetapi memberikan sokongan baik pada bahagian belakang semasa pemanduan jauh.

Ruang kaki belakang pula boleh dipuji dan pastinya lebih panjang berbanding Passat tetapi jika penumpang belakang masih lagi kecil, ini bukanlah satu kelebihan yang sangat diperlukan.

Juga menarik untuk dinyatakan, kelengkapan yang biasanya tidak menjadi tarikan utama bagi kenderaan segmen ini memainkan peranan ketika pemanduan jauh. Sonata Executive yang merupakan varian tertinggi ini mempunyai bumbung suria, sekiranya dibuka, memberikan banyak perbezaan, menghasilkan suasana lebih luas.

IMG_1670Volkswagen Passat 1.8 TSI

Kelebihan Passat dalam aspek pecutan dan dinamik sayangnya terbazir dalam ujian sebegini, sebagai tambahan kepada pergerakan yang tersengguk semasa perlahan. Semasa meluncur sekata dalam kelajuan 110km/j, ia masih lagi lancar. Menariknya, kedua-dua Passat dan Sonata berada pada tahap 2,200rpm semasa meluncur pada kelajuan ini, meskipun Passat mempunyai gigi tambahan dalam kotak gearnya.

Penyerapan bunyi Passat pula sedikit lebih baik berbanding Sonata dan ia juga terasa lebih ‘melekat’ di atas jalan tetapi tidaklah sehingga membuatkan Sonata berasa tidak stabil apabila laju.

IMG_1653Buka bahagian simpanan belakang, keadaannya sedikit menghampakan. Bahagian hujung yang tirus menyebabkan lantainya cetek dan bukaannya lebih sempit berbanding Sonata. Walaubagaimanapun terdapat bahagian terasing di sisi untuk barang yang anda mahukan ia supaya tidak bergerak.

Passat juga mempunyai satu lagi kelebihan iaitu fungsi brek ‘auto hold’. Dalam keadaan trafik yang tidak bergerak, anda tidak perlu menekan pedal sepanjang masa untuk berhenti dan boleh dilepaskan untuk membrek secara automatik.

Ciri pengesan keletihan ‘Rest Assist’ juga boleh didapati pada Passat, di mana ia boleh mengesan sama ada pemandu memerlukan rehat berdasarkan tindak balas stereng dan pedal lain.

DSC_1156Kata putus

Dalam aspek keselamatan, kedua-dua kenderaan mempunyai enam beg udara dan cangkuk ISOFIX, selain alat bantuan elektronik lain yang biasanya terdapat pada kenderaan dalam segmen ini. Jadi, bagi mereka yang mengutamakan keselamatan, keduanya adalah setara.

Sekiranya ini adalah perbandingan yang mana satu adalah kenderaan terbaik bagi seorang pemandu, enjin TSI dan pengendalian Passat sudah pasti adalah pemenangnya. Dalam sudut pandangan isu ini yang berbeza pula, Sonata menerima pilihan kami sebagai kenderaan yang dibangunkan untuk dua tugas; penggunaan di dalam bandar dan percutian keluarga.

Sebabnya adalah mudah. Ia menunjukkan kelebihan dari segi keluasan kabin dan keringkasan yang mencapai jangkaan. Selain itu, anda juga perlu membayar tambahan RM20,000 untuk Passat yang diwajarkan dengan hanya kombinasi enjin dan casis, selain ia adalah jenama Eropah.

Bagi kali ini, Sonata adalah kenderaan yang patut dimiliki. – Vishal Bhaskaran

 

Spesifikasi Hyundai Sonata 2.0 Executive

Enjin: 2.0-liter MPi

Transmisi: Automatik enam kelajuan

Kuasa maksimum: 152hp @ 6,200rpm

Tork maksimum: 194Nm @ 4,000rpm

Penggunaan bahan api (semasa diuji): 12km/l (8.3L/100km)

Ciri keselamatan: ABS, ESC, Active Cornering Lights, enam beg udara, badan ‘Advanced High Strength Steel’, Hill-start Assist Control, Smart Trunk System

Harga: RM153,510.03 (tidak termasuk insurans). Jaminan lima tahun atau 300,000km

 

Volkswagen Passat 1.8 TSI

Enjin: 1.8-liter TSI

Transmisi: DSG tujuh kelajuan

Kuasa maksimum: 158hp @ 5,000rpm

Tork maksimum: 250Nm @ 1,500rpm

Penggunaan bahan api (semasa diuji): 14.3km/L (7L/100km)

Ciri keselamatan: ABS, BA, ISOFIX, enam beg udara, ESC, Rest Assist, pengesan tayar pancit

Harga: RM 174,835.20 (tidak termasuk insurans). Jaminan lima tahun tanpa had batuan